Sedara2ku...

28 December 2008

Sampai tahun depan

Lepas ni saya tak boleh nak update blog ni.. hehehe nak ngabihkan cuti tahun... cadangnya nak gerak ke utara, family mak ana & pakcik cherry pun join sama. Harap2 cuaca menyebelahi kami.

Dah hujung tahun ni cerita pasal bonen-kai lah... terjemahannya gathering for forget the year? gitu lah lebihkurang. perjumpaan tu biasa je makan2 minum2 + karaoke gitu. Kiranya satu kemestian rakan2 sekerja adakan perjumpaan dan makan2 hujung tahun.

Ha.. kalau lepas ni agak2 bakal tak jumpa dengan rakan sekerja atau business associates sampai tahun depan, dah boleh le ucapkan "YOI O TOSHI WO" - saya pun tak belajar perkataan ni lebih mendalam. Tapi pernah diberitahu ayat penuhnya adalah yoi o toshi wo mukaemasu yo ni... yang bermaksud semoga anda menerima kedatangan tahun yang baik. Kiranya doakan kesejahteraan orang yang kita ucapkan untuk tahun mendatanglah... fid hafal tau, tahun depan sure bonus beribu2 lemon.

1 Januari - orang Jepun beraya. Macam kita raya, ada masakan special, ada otoshi dama (duit raya le tu),ada ziarah kubur, malam 31 Disember pergi sembahyang di jinja.. tak reti nak terjemahkan, kalau english, shrine. kalau bahasa melayu, tokong ke, kuil lah kot.

Bila dah masuk je 1 Januari pulak kita ucapkan AKEMASHITE OMEDETO GOZAIMASU... Omedoto Gozaimasu = tahniah. Akemashite diambil dari perkataan akeru = buka. Sebab tu le cuma boleh ucap bila dah buka tahun baru.... terjemahannya SELAMAT TAHUN BARU.

Tahun baru 1999, saya pernah ikut rakan dari Shizuoka balik kampung. Pagi raya tu merasa le pakai kimono, o toshi dama (duit raya) pun merasa jugak. Tapi yang tak syoknya bila mereka bawak pergi ziarah kubur... adoi... mak kawan tu ajar istiadat ziarah kubur, dalam hati YA ALLAH AMPUNKAN DOSA AKU...

Sampai jumpa lagi tahun depan YOI O TOSHI WO.....

p/s :
hari ni RTM 1 entah apa2lah.. dari siang, jadual asyik lari je. Tadi beriya2 tunggu nak tengok sambungan gelora di hati sara, yang keluar agro jurnal. kecewa...

Insyaallah esok petang kami solat maghrib ramai2 kat rumah tokji, baca doa akhir tahun dan terus sambung doa awal tahun. Sedar tak sedar, masuk tahun ni dah 2 tahun berkesempatan buat begini. Alhamdulillah...

24 December 2008

Meri..... kurisma....su.

Hari ni Christmas Eve. Selamat Menyambut Hari Natal untuk rakan2 yang beragama Kristian.

Hari ni seluruh dunia menyambut dengan penuh kemeriahan, tapi ramai yang menyambut komersialisma Krismas itu sendiri, bukan agama!. Kat Jepun contohnya, mereka meraikan ikatan kasih sayang pada christmas eve ni, tapi bukan dengan keluarga... mereka akan menyambut bersama kekasih. Mungkin lebih hebat dari sambutan Valentine's day ditempat lain. Hari ni semestinya hotel fully booked, baik restoran mahupun bilik. Tapi kemeriahan krismas di Jepun hanya sehingga christmas eve sahaja, esok tak ada public holiday pun.. work as usual!

meri--- kurisma--su. (sebutan merry christmas dalam bahasa jepun).

21 December 2008

Godeh2 handphone











Dah lama beli handphone sony erricson ni, tapi tak pernah berani nak godeh. Rupa2nya kat camera phone tu boleh set frame sebelum ambil gambar, layan je lah....
oh ye, tadi saya tinggalkan skype online, tiba2 ada pulak orang kacau. Ha kau, jawab, azam dengan pyan yang layan. Saya check balik, ada insert gambar orang tengah buat flying kick, nasib dia lah.. Azam dengan pyan ni memang rajin nak insert benda pelik2, kat ym Cik Abeng dah block mereka, suara audibles kat PC mengganggu Muaz nak tidur. Bukan apa si Muaz tu kalau dengar bunyi2 macam tu bersemangat dia nak tunjuk aksi spiderman dia...

19 December 2008

Saje je....

Lama dah tak jengah kat sini, budak2 tak ada kat rumah macam tak ada motivasi nak buka PC. Hari ni budak2 ni balik dari rumah Tokbah, baru le sama2 menyibuk rebut2 guna PC. Hehehe... lumrah manusia, tak berebut tak thrill!

Cuti sekolah ni terasa sunyi dan sedih, dah besar dah anak2 mak. Dah pandai nak tidur kat rumah tokbah. Take it positively, diaorang pergi training kat sana. ye lah... mak dia membebel 24 sehari pun tak laku, tapi kat rumah tokbah boleh pulak tolong masak, tolong buang sampah, etc2 lah...

Lagi berapa hari lagi nak meninggalkan 2008 dan masuk ke 2009. Fid dok komplen banyak kes kat tempat kerja dia, kat tempat kerja saya pun sama je. Agaknya aura hujung tahun lah... Yang tak ada pasal cari pasal, gaduh lain, accident lain.... kegawatan ekonomi ni nampaknya dah mula nampak kesan. Dah banyak kilang yang lay-off dan buat long shutdown. Ingatkan cuti panjang sempena krismas dan tahun baru tapi siap kena ambil Annual Leave, AL tak ada balance, kena UPL, tak ada gaji tu..... kesian orang2 yang terlibat, termasuk mokda yatie. Apa2 pun Asst Dir yang buat briefing kat FMM tu macam muka Adi Putera... tapi saya dok kat belakang dia je, fid yang ngadap betul2 depan muka dia... tu le padan muka, sapa suruh datang lambat.....

12 December 2008

Haleeda & artis veteran










gambar haleeda posing dengan artis veteran. Sekarang ni dia pun tak kenal sapa tu... mungkin 20 tahun lagi baru dia tahu menghargai foto-foto ni.




  1. Atas sekali - beraya dirumah Kapt (B) Mohd Noor Bon
  2. Tengah - gambar dengan Ahmad Jais
  3. Bawah - gambar dengan Julie Sudiro












02 December 2008

Cerita semalam di Batu Pahat.

Semalam saya pergi melawat rakan sekerja di Hospital Batu Pahat. Lama betul tak ke Batu Pahat. Tak banyak perubahan, masih sesak jalannya. Nasib baik pergi dengan anak jati Batu Pahat, tak lah sesat...
Kami singgah solat zohor di salah satu masjid berdekatan dengan hospital, katanya masjid lama Batu Pahat. Wah.. tak pernah saya jumpa tandas wanita sebersih tandas di masjid ini. Tahniah! Biasanya tandas wanita sama level atau lebih teruk dari tandas di R&R. Bukan masjid kat kampung je, masjid kat putrajaya yang tersergam indah tu pun sama. Ruang solat wanita pulak, superb. Luas dan cantik. Satu lagi kelainannya, telekung yang sudah digunakan, disangkut menggunakan hanger dan digantung di ampai besi yang disediakan. Macam dirumah. Terima kasih daun keladi, insyaallah lain kali saya tumpang lagi.
Beralih kepada cerita rakan sekerja dihospital. Beliau kemalangan di lebuhraya, jatuh sendiri ketika menunggang motor kerana terlanggar beruti kayu. Menurut cakap-cakap orang yang lebih pandai, katanya beruti kayu biasanya digunakan oleh pemandu lori untuk sendal dibahagian bawah tempat letak barang. Tak reti nak terangkan lebih lanjut, tapi gitulah ceritanya. Hmmm... cuba bayangkan sebatang kayu yang kecil ukurannya boleh menyebabkan penunggang motorsikal patah tulang rusuk dan berlubang di bahagian keting. Para pemandu lori perlu lebih prihatin dalam hal ini.
Saya teringat lebih 10 tahun dulu, ditempat kerja lama ada kes kemalangan yang sungguh dahsyat melibatkan penunggang motor. Sewaktu melawat beliau dihospital JB, doktor memaklumkan bahawa banyak tulang beliau remuk dan kemungkinan besar akan lumpuh. Memang sedih. Memandangkan beliau dari Kelantan dan dah dekat nak raya, pihak keluarga telah meminta kebenaran untuk memindahkan beliau ke hospital disana. Kami pun main percaya je lah.. rupa-rupanya ayah beliau ada perancangan lain.. Sebulan selepas kemalangan beliau muncul ditempat kerja, tak ada cacat cela pun, kami semua terperanjat. Dia kata turun JB naik bas ekspress, lagilah terperanjat. Selidik punya selidik, rupa-rupanya ayahnya menjemput bomoh siam yang mengurut di kain batik! Misteri Nusantara.
Selepas solat baru cari makan. Memandangkan kat Batu Pahat ni terkenal dengan nasi beriyani mohd shah, kami pergi lah ke gerai dekat dengan jambatan tu. Alahai.. dah habis. Makan jugaklah nasi beriyani kat kedai lain, tapi kureng sikit....

28 November 2008

Tokbah


Gambar kat atas tu Pak Man atau kami panggil Tokbah, ayah kesayangan saya. Handsome tak? Eligible bachelor sejak 11 tahun dulu.. lahir tahun 1939, kiranya masa perang dunia ke2, tokbah masih belum reti apa-apa. tapi sempatlah merasa kesusahan hidup zaman lepas perang.
Cuti sekolah ni tokbah busy, especially hujung minggu. Sejak dah tak kerja, tokbah jadi tukang masak, joint-venture dengan x-menantu, Pakngah Yasin. Speciality mereka, nasi beriyani gam. (fid, himawari & kawan2 yang masih bachelor, kalau nak buat wedding of the year contact le .. nanti boleh minta harga kawan2)
Setiap petang lepas balik dari sekolah sufyan kat rumah tokbah sementara tunggu ayahnya balik kerja. Tokbah ni selaras dengan namanya Rahman, orangnya memang pengasih. Dia sabar melayan kerenah sufyan. Cucu kandung tokbah ada 13, cucu instant 5, cucu sedara, cucu angkat tak pernah kira. Macam promosi tokbah pulak, tapi memang nak promote jugak. Sekarang ni mokcu dah pindah rumah sendiri, tinggal le tokbah sendirian.. rasa2nya dah patut cari tokmak baru...

23 November 2008

Cerita hari ni..


tadi tengok drama tv3, tak tahu tajuk sebab mula tengok cerita dah start. Sedih tengok watak budak spastik yang kena pukul dengan abang dan mak tiri dia. Teringat sufyan, kadang-kadang, bila dia tak dapat control pergerakan, apa yang ada dekat dengan dia semua terpelanting. Cuma mungkin sufyan lebih bernasib baik sebab budak tu terencat akal. Cerita tu sungguh-sungguh mendatangkan keinsafan. Syabas Murali Abdullah. drama-drama pengarah ni selalu sarat dengan mesej.

Cerita pasal sufyan pulak, sekarang ni dia dah conquer PC kat rumah. Sufyan dah pandai chatting kat yahoo messenger. Sekarang ni dia selalu chat dengan Kak Eika, Cik Abeng & Cik CT. pantang tengok orang-orang tu online, mesti dia bagi salam. Dia yang on PC, buka YM, check siapa online dan terus chatting. Mula-mula tu orang yang terima mesej tu macam tak percaya, tapi bila kadang-kadang dapat mesej merapu (sufyan tertekan 2-3 huruf sekali), barulah mereka percaya.

Pokda Halim dah berlepas balik ke New Zealand petang tadi. Pagi tadi kami jumpa dia di Airport. Mula-mula dia nak naik keretapi ke bas dari JB, last-last naik flight. Alasannya pulak paling kelakar. Katanya dia nak mandi dulu sebab perjalanan hampir 48 jam. Transit kat KL, Brunei, Auckland, baru le sampai Hamilton. Agaknya bila pokda sampai Hamilton, sure dah bau ala-ala lembu susu New Zealand. Selamat Jalan Pokda. Semoga cita-cita Pokda untuk meneruskan pelajaran hingga ke peringkat tertinggi dimakbulkan Allah.

20 November 2008

Tak suka, tak suka, tak suka

Salam semua,

Tak suka betul lah tengok TV sekarang ni.. tengah syok menikmati cerita, keluar pulak iklan cerita hantu . TAK SUKA!!!!!!

Dulu dah betullah kerajaan tak benarkan buat cerita hantu dan khurafat. Kenapa pulak tiba2 longgar. Untuk orang yang suka tengok cerita hantu tu, biarlah mereka jumpa hantu mereka di panggung wayang. Kalau nak tengok DVD/VCD pun biarlah kat rumah mereka sendiri saja. Kenapa hantu tu mesti keluar di kaca TV rumah semua penduduk di Malaysia, Singapura, Brunei dan sebahagian dari selatan Thailand serta Indonesia?

Anak2 dah minta berteman nak pergi dapur..bukannya dapur rumah orang, dapur rumah sendiri! Kenapa kita sekat minda anak2 kita dengan cerita hantu sebegini?

03 November 2008

Jalan-jalan : MELAKA


Inilah 4 orang anak saya yang terlebih aktif.

Menara Taming sari


Dengan sabar beratur menunggu giliran untuk menaiki menara.





Salam,

Aktiviti kami sekeluarga yang akan dikongsi bersama anda, jalan-jalan tanpa perancangan. Pagi Sabtu lepas x-adik ipar saya call, "boringlah.. jalan jom!" petang tu kami dah sampai Air Keroh, Melaka. Tok Abah yang plan nak cat rumah pun postponed kerja, ikut jugak.

Hotel memang tak book. cari punya cari dapat bilik kat puteri resort. Budak-budak suka sebab swimming pool dia memang best. Malam tu kami makan ikan bakar di Alai. Terima kasih pada Ina & Tolkha sekeluarga yang menunjukkan tempat makan dan seterusnya temankan kami makan. Budak-budak dah penat mandi kolam, segala makanan yang sampai di meja semua licin dalam sekelip mata. Macam ikan piranha! Kami hairan kenapa lah orang tu letak nasi lemak banyak2 atas meja, mana nasi putihnya? Rupa-rupanya memang cara makan ikan bakar disitu dengan nasi lemak.

Nasi lemak tu pulak... panas dan ada kelainan sikit pada baunya.. rasa macam bau kuih koci. Memang sedap, sampai tak perasan dua tapis yang diletak diatas meja dah kosong! Terima kasih Yasin, malam tu Yasin belanja.

Tengahari semalam (Ahad), kami makan Kari Kepala Ikan di Semabok. Jalan ramai-ramai ni memang semangatnya lain sikit. Dengan tak malunya minta buah pelam kat pokok didepan restoran haji isenin (kalau salah tulis nama restoran ni minta maaf). Lepas makan, kami ke Menara Taming Sari. Cuba bayangkan anda naik lif yang transparent boleh tengok pemandangan luar, lepas tu boleh pusing 360 degree. kecut perut tau!. Lepas tu kami cadang nak naik river cruise, tapi tak jumpa jalan ke ferry terminal. Mungkin kerajaan negeri Melaka boleh buat kempen kesedaran pelancongan kepada petugas-petugas di tourism attraction di Melaka. Kami ni setahun sekali ke Melaka, manalah tahu terminal feri untuk river cruise tu kat mana...

Melaka memang tourism oriented. Kerjasama dari semua pihak, sampai gelas plastik mengisi air yang dijual ditepi jalan pun tertera visit Malaysia.Cuma saya tak berkenan langsung bila melihat orang yang menjual air dan buah-buahan potong sambil menghisap rokok. Tak dapat bayangkan habuk rokok mereka terbang dan masuk dalam air yang dijual.

Maghrib kami sampai semula ke Kulai. Penutup jalan-jalan kali ni, Tok Abah belanja makan malam. Kali ni kami jalan sebelum cuti sekolah sebab Din nak kena sunat!

Yang pelik : Kat taman perumahan sebelum sampai ke restoran ikan bakar terpampang papantanda, LEMBU DILARANG MASUK, KAWASAN PERSENDIRIAN. agaknya lembu di Melaka pandai bacalah...







30 October 2008

sufyan budak bertuah.



Gambar diatas dari depan kiri : Sufyan,Izamudin, Izzati, Haleeda, Atiqah, Fara, Khaleed dan Azam semasa bercuti di Cameron Highland.


Gambar bawah : Haleeda, Sufyan, Khaleed & Azam



Sufyan anak yang bertuah. Dia sentiasa dikelilingi oleh orang-orang yang istimewa. kekurangan sufyan bukan masalah untuk mereka. Mereka sanggup bersusah payah bagi membolehkan sufyan menyertai aktiviti bersama mereka.




29 October 2008

Kukup tak ada pam minyak????

Salam

Pagi tadi saya dan suami ke Serkat, Pontian menziarahi rakan keluarga yang telah pulang ke rahmatullah. Entah mengapa suami saya begitu relaks tidak mengisi petrol walau pun tahu kami bakal menempuh perjalanan yang agak jauh. Dengan relaks juga, sebelum membelok ke simpang masuk Serkat, kami memutuskan terus ke kukup untuk mengisi petrol kerana paras minyak sudah "E".

Terus punya terus sampai dah nampak laut, tapi pam minyak masih tak nampak. Kami berhenti dan bertanya dengan seorang warga tua cina yang sedang berbual ditepi jalan. " pam minyak mana ada sini, lu pigi pontian lah.. sini tak de" Pekan sebesar ni tak ada pam minyak??? Haiyo.. matilah kita kena tolak kereta.

Apek tu nampak kami dah mula tak relaks (panik le tu), terus teka. " Minyak sula rezeb ah?.. Lu pigi cali kedai motor bili minyak dalam botol lah, 2 botol cukup!" Wah, apek ni betul-betul applikasi "Solution Focus" - no need to dig into the trouble, find Solutions!. Kami pusing balik ke arah belakang, jumpa kedai motor , belum buka!

Untuk menyedapkan hati suami saya kata " untuk 30km boleh lagi', tapi relaks tu tak berpanjangan. Kami nampak papantanda pontian 21km. Terus saya cakap, bang tu kalau terus ke pontian, kita nak kena kira km pergi balik ke serkat, cukup tak? Senyuman suami tak berjaya menenangkan perasaan saya.

Alhamdulillah pagi ini kami ditemukan dengan orang yang mulia hatinya. Nyonya kedai hardware siap mahu tolong telefon taukeh kedai motor. Kemudian, dia suruh pergi tanya kat kedai basikal tak jauh dari kedai dia. Alhamdulillah, apek kedai basikal dengan senyum tolong tuangkan minyak dalam tangki minyak kereta. Semoga Allah membalas budi mereka.

Alhamdulillah kami dah selamat sampai semula ke rumah. Semoga Allah mencucuri rahmat kepada roh Allahyarham En Idris.

28 October 2008

KELEBIHAN ILMU

Pelajarilah ilmu! mempelajarinya kerana Allah itu TAQWA
Menuntut ilmu itu IBADAT
Mengulang-ngulang itu TASBIH
Membahaskannya itu JIHAD
Mengajar orang yang tidak tahu itu SEDEKAH.


(diceduk dari kitab akhlak darjah 4, sekolah agama negeri Johor)

20 October 2008

Pengenalan Sufyan


Hari ni saya nak cerita pasal Sufyan. Sufyan merupakan anak sulong dari 4 beradik. Sekarang berumur 12 tahun dan bersekolah di Sekolah Kanak-kanak Spastik Johor.

Oleh kerana saya tinggal di Kulai, ramai yang bertanya kenapa saya tidak menghantar Sufyan bersekolah di sekolah biasa saja. Jawapannya mudah, Sufyan telah bersekolah di sekolah tersebut sejak berusia 5 tahun, bermula sebagai outpatient. Macam hospital kan? Dalam tahun pertama dia bersekolah pada hari Jumaat saja.

Dipendekkan cerita, kami tidak sempat masukkan sufyan bersekolah sepenuh masa pada tahun tersebut kerana kad OKUnya mengambil masa hampir setahun!. Syarat disekolah tersebut pula agak ketat, tak ada kad OKU, tak boleh masuk sebagai pelajar. Setelah berulang alik ke pejabat kebajikan masyarakat, kami hanya dapat salinan rekod perubatan yang disahkan oleh pihak jabatan dan nota tulisan tangan bahawa kad OKU sedang dalam proses. Nasib baik pihak sekolah memberi kelonggaran, kalau tidak mungkin sufyan terpaksa menunggu lebih lama. Dengan kecanggihan zaman teknologi sekarang , saya harap kelemahan ini telah diperbaiki.

Cuma saya masih lagi terkilan kerana dalam kad OKU tersebut ditulis kecacatan : AKAL. Cerebral Palsy mungkin cacat di otak, tetapi tidak semestinya cacat akal! Cuba anda pergi kesekolah kanak-kanak spastik, mereka mungkin bermasalah untuk bergerak atau bertutur, tetapi boleh berfikir serta beremosi seperti rakan-rakan sebaya yang sempurna fizikalnya.

Kadang-kadang adik-adik sufyan iri hati dengannya kerana kurikulum di sekolah menyediakan peluang untuk berenang (hydro-theraphy ) dan menunggang kuda (hippo-theraphy) disamping physio-theraphy dan speech theraphy. Disekolah biasa mana ada peluang nak mandi kolam atau menunggang kuda....

cerita selanjutnya kita sambung kemudian.. tunggu....

17 October 2008

Salam dunia




Assalamualaikum & good day to all

Musim raya ni semasa menziarahi saudara di Muar, saya terjumpa dengan anak kecil berusia setahun lebih yang sungguh comel tetapi masih belum boleh berjalan hatta merangkak sekalipun seperti rakan seusianya. Hati saya terdetik, macam sufyan.. anak sulong saya yang berusia 12 tahun yang disahkan mengalami cerebral palsy.

Bertalu2 soalan yang saya terima dari ibu anak itu. Saya faham sebagai ibu tentu beliau risau tentang masa depan anaknya juga pandangan masyarakat terhadap anak kecil ini.

Saya akan mencari masa menceritakan kehidupan sufyan bersama keluarga dan rakan2, insyaallah...