Sedara2ku...

30 October 2008

sufyan budak bertuah.



Gambar diatas dari depan kiri : Sufyan,Izamudin, Izzati, Haleeda, Atiqah, Fara, Khaleed dan Azam semasa bercuti di Cameron Highland.


Gambar bawah : Haleeda, Sufyan, Khaleed & Azam



Sufyan anak yang bertuah. Dia sentiasa dikelilingi oleh orang-orang yang istimewa. kekurangan sufyan bukan masalah untuk mereka. Mereka sanggup bersusah payah bagi membolehkan sufyan menyertai aktiviti bersama mereka.




29 October 2008

Kukup tak ada pam minyak????

Salam

Pagi tadi saya dan suami ke Serkat, Pontian menziarahi rakan keluarga yang telah pulang ke rahmatullah. Entah mengapa suami saya begitu relaks tidak mengisi petrol walau pun tahu kami bakal menempuh perjalanan yang agak jauh. Dengan relaks juga, sebelum membelok ke simpang masuk Serkat, kami memutuskan terus ke kukup untuk mengisi petrol kerana paras minyak sudah "E".

Terus punya terus sampai dah nampak laut, tapi pam minyak masih tak nampak. Kami berhenti dan bertanya dengan seorang warga tua cina yang sedang berbual ditepi jalan. " pam minyak mana ada sini, lu pigi pontian lah.. sini tak de" Pekan sebesar ni tak ada pam minyak??? Haiyo.. matilah kita kena tolak kereta.

Apek tu nampak kami dah mula tak relaks (panik le tu), terus teka. " Minyak sula rezeb ah?.. Lu pigi cali kedai motor bili minyak dalam botol lah, 2 botol cukup!" Wah, apek ni betul-betul applikasi "Solution Focus" - no need to dig into the trouble, find Solutions!. Kami pusing balik ke arah belakang, jumpa kedai motor , belum buka!

Untuk menyedapkan hati suami saya kata " untuk 30km boleh lagi', tapi relaks tu tak berpanjangan. Kami nampak papantanda pontian 21km. Terus saya cakap, bang tu kalau terus ke pontian, kita nak kena kira km pergi balik ke serkat, cukup tak? Senyuman suami tak berjaya menenangkan perasaan saya.

Alhamdulillah pagi ini kami ditemukan dengan orang yang mulia hatinya. Nyonya kedai hardware siap mahu tolong telefon taukeh kedai motor. Kemudian, dia suruh pergi tanya kat kedai basikal tak jauh dari kedai dia. Alhamdulillah, apek kedai basikal dengan senyum tolong tuangkan minyak dalam tangki minyak kereta. Semoga Allah membalas budi mereka.

Alhamdulillah kami dah selamat sampai semula ke rumah. Semoga Allah mencucuri rahmat kepada roh Allahyarham En Idris.

28 October 2008

KELEBIHAN ILMU

Pelajarilah ilmu! mempelajarinya kerana Allah itu TAQWA
Menuntut ilmu itu IBADAT
Mengulang-ngulang itu TASBIH
Membahaskannya itu JIHAD
Mengajar orang yang tidak tahu itu SEDEKAH.


(diceduk dari kitab akhlak darjah 4, sekolah agama negeri Johor)

20 October 2008

Pengenalan Sufyan


Hari ni saya nak cerita pasal Sufyan. Sufyan merupakan anak sulong dari 4 beradik. Sekarang berumur 12 tahun dan bersekolah di Sekolah Kanak-kanak Spastik Johor.

Oleh kerana saya tinggal di Kulai, ramai yang bertanya kenapa saya tidak menghantar Sufyan bersekolah di sekolah biasa saja. Jawapannya mudah, Sufyan telah bersekolah di sekolah tersebut sejak berusia 5 tahun, bermula sebagai outpatient. Macam hospital kan? Dalam tahun pertama dia bersekolah pada hari Jumaat saja.

Dipendekkan cerita, kami tidak sempat masukkan sufyan bersekolah sepenuh masa pada tahun tersebut kerana kad OKUnya mengambil masa hampir setahun!. Syarat disekolah tersebut pula agak ketat, tak ada kad OKU, tak boleh masuk sebagai pelajar. Setelah berulang alik ke pejabat kebajikan masyarakat, kami hanya dapat salinan rekod perubatan yang disahkan oleh pihak jabatan dan nota tulisan tangan bahawa kad OKU sedang dalam proses. Nasib baik pihak sekolah memberi kelonggaran, kalau tidak mungkin sufyan terpaksa menunggu lebih lama. Dengan kecanggihan zaman teknologi sekarang , saya harap kelemahan ini telah diperbaiki.

Cuma saya masih lagi terkilan kerana dalam kad OKU tersebut ditulis kecacatan : AKAL. Cerebral Palsy mungkin cacat di otak, tetapi tidak semestinya cacat akal! Cuba anda pergi kesekolah kanak-kanak spastik, mereka mungkin bermasalah untuk bergerak atau bertutur, tetapi boleh berfikir serta beremosi seperti rakan-rakan sebaya yang sempurna fizikalnya.

Kadang-kadang adik-adik sufyan iri hati dengannya kerana kurikulum di sekolah menyediakan peluang untuk berenang (hydro-theraphy ) dan menunggang kuda (hippo-theraphy) disamping physio-theraphy dan speech theraphy. Disekolah biasa mana ada peluang nak mandi kolam atau menunggang kuda....

cerita selanjutnya kita sambung kemudian.. tunggu....

17 October 2008

Salam dunia




Assalamualaikum & good day to all

Musim raya ni semasa menziarahi saudara di Muar, saya terjumpa dengan anak kecil berusia setahun lebih yang sungguh comel tetapi masih belum boleh berjalan hatta merangkak sekalipun seperti rakan seusianya. Hati saya terdetik, macam sufyan.. anak sulong saya yang berusia 12 tahun yang disahkan mengalami cerebral palsy.

Bertalu2 soalan yang saya terima dari ibu anak itu. Saya faham sebagai ibu tentu beliau risau tentang masa depan anaknya juga pandangan masyarakat terhadap anak kecil ini.

Saya akan mencari masa menceritakan kehidupan sufyan bersama keluarga dan rakan2, insyaallah...