Sedara2ku...

31 December 2011

Bye bye 2011 & welcome 2012



petang ni sunyi, anak2 ke taman permainan, suami keluar, sufyan tengah mandi... mak dia.. hehehe.. ngadap laptop. Tahun 2011 dah nak berakhir, kalau hari terakhir tahun hijrah, pukul 6.20 ptg macam sekarang ni anak2 dah kena jerit suruh mandi,nak baca doa akhir tahun. Tapi hari ni mereka masih main bola bersama kawan2. 

Pencapaian tahun ni biasa2 saja. Cuma 2 bulan terakhir saya berpeluang duduk rumah atas permintaan anak2, kebetulan kontrak kerja dengan syarikat sebelum ni tamat akhir oktober. Insyaallah. tahun 2010 kalau ada rezeki nak kerja semula... Dalam pada duduk rumah sempat juga jadi training facilitator untuk soft skill training, alhamdulillah.. persediaan masa tua... (opps. macam le muda sangat).
Anak2 lelaki, pelajaran mereka.. aduh.. tak terkata..., kecuali Haleeda. Akhir tahun ni dengan kerjasama suami, kami dah buat jadual baru. Lepas solat maghrib, anak2 buka meja diluar.. ayah mereka kena duduk sekali.. temankan mereka ulangkaji pelajaran. .harap2 usaha ini berterusan. Bukan apa. bila tengok result, rasa bersalah pulak. mungkin saya tak cukup bagi perhatian pada mereka. Sekarang ni angin agak kencang, tambah rumah saya berada diatas bukit, sejuk sampai ke tulang....

2012, just hope for the best. Tak mau angan2 bulan dan bintang. biar macam kura2, asal lambat tapi sampai juga ke destinasi. Yang penting saya mau cuba istiqamah. Insyaallah, semoga Allah permudahkan tekad kami.

Bye bye 2011 & welcome 2012.

30 December 2011

30hb Disember

30hb Disember
tahun ini bakal pergi
tahun hadapan sudah menanti


masa terus berlalu
tanpa menunggu lengahku
meninggalkan aku termangu-mangu


masih banyak yang belum terlangsai
masih banyak yang tergantung diawang-awangan
setia menunggu kudrat dari ku.


detik-detik akhir ini
tidak akan kugunakan untuk menangisi yang hilang
atau menuding jari kepada orang


tahun depan bunyinya jauh
tapi tinggal sedetik cuma
biar pincang ku redah jua...


~makngah~
 30/12/2011


21 December 2011

Doa agar hujan berhenti

Assalamualaikum & Selamat pagi.

Mangsa banjir di Johor semakin meningkat. Pagi ni je ikut data di portal banjir MKN, kawasan banjir dah jadi 38, mangsa yang terlibat dah meningkat sampai 3259 orang. Semoga meeka semua tabah.

Bila saya kecoh2 pasal banjir di Segamat,rakan fb saya, syed hanafi letak doa dibawah di wall saya. Alhamdulillah, semoga perkongsian disini memberi manfaat untuk semua. Terima kasih Syed.


btw, pagi tadi call anak di Segamat. nampaknya hujan dah berhenti sejak semalam.

19 December 2011

DOA MENOLAK BANJIR

Hujan turun tanpa henti sejak semalam
walau pun tak lebat tapi berterusan
tempayan yang dikosongkan malam tadi
dah penuh semula
bila dibayangkan dalam skop yang lebih besar,
ngeri.....

malam tadi waktu pulang dari kampung sempat menoleh
sungai-sungai disepanjang jalan
walau pun belum melimpah
tapi dah tinggi, air sudah kelihatan dari dalam kereta,
dengan hujan berterusan begini
tak mustahil, boleh melimpah keluar...

Untuk anda yang mahu semak status banjir
sila semak di PORTAL BANJIR MKN. last update hari ini :
http://portalbanjir.mkn.gov.my/


Juga, saya lampirkan doa menolak banjir untuk rujukan kita semua.

terima kasih kepada syed hanafi yang meletakkan doa ni di facebooknya...




dan kalau musibah melanda juga, kawan-kawan, terima dengan rela hati ye.. mungkin Allah dah sediakan yang lebih baik untuk anda semua.....


akhirkata,


sedikit mood gembira untuk anda semua...





16 December 2011

Lagu :buah- buahan tempatan.

Perut tengah panas!

Setelah naik rimas mendengarkan anak daraku Haleeda yang berleter kerana bau buah durian dalam peti ais, saya dan sufyan memulakan operasi menghabiskan baki durian.. Ala bukan banyak mana pun.. Kat rumah rasanya saya dan sufyan je hantu durian. yang lain tu takat jamah je. si Haleeda? hm.. tak sentuh langsung... Mungkin ada kena mengena dengan tabiat saya masa mengandungkan mereka dulu...  Kebetulan saya sempat jumpa musim durian masa mengandungkan Sufyan. Yang lain2 tu tak sempat jumpa musim durian rasanya... 

Korek2 kat youtube, jumpa lagu ni... lagu kegemaran masa sekolah rendah. 



14 December 2011

Petua : Menghilangkan bau durian ditangan anda.

Musim durian dah tiba!

Durian durian & durian. Makan durian fresh memang best, tapi saya suka kopek dan simpan durian dalam peti ais. Walau pun durian tu kurang menyengat, kalau dah sejuk dalam peti ais, boleh tahan sedapnya.

Masalahnya, kalau dah makan durian, walau pun seulas, bau kat tangan nak mau hilang. Saya try petua Tokabah, alhamdulillah, berkesan. lepas makan, bau durian ditangan almost hilang... almost je tau... bukannya 100% hilang.. ye lah. daripada dok tercium bau durian lama2....

Petuanya gini...

CUCI TANGAN MENGGUNAKAN AIR YANG TELAH DILALUKAN DIPANGSA DURIAN / KULIT DURIAN..

tak faham jugak?
sila tengok gambar dibawah...

terima kasih kepada sufyan yang sanggup jadi model,
walaupun, model tangan je...

cubalah...


09 December 2011

Petua : Halau lalat

Salam.

Waktu selak2 majalah mingguan wanita yang baru dibeli semalam, saya ternampak petua untuk mengelak lalat didapur.



Selalunya petua  yang dibaca mesti guna cara nak attract lalat, baik guna gam lalat atau kat kantin/kedai makan yang pakai ultra violet, semuanya mengumpan lalat datang dekat dan bunuh.. allure and kill. fuh.. kejam....

tapi petua yang baru ni betul2 petua menghalau.



Caranya :
Masukkan beberapa kuntum bunga cengkih kedalam mangkuk atau cawan berisi air.
Biarkan terdedah diruang dapur...

Mungkin air berbau cengkih tu tak sedap kat hidung lalat kot...


btw, tau tak cengkih yang mana satu? ha,, yang macam kat gambar sebelah. Sebenarnya kecik je...
dah check kat google translate : cengkih in english = CLOVE.




Peringatan sebelum mencuba.
Ini salah satu dari usaha kita. Kalau ditakdirkan lalat berjaya dihalau keluar dari dapur anda, janganlah mencabar dia lagi ye.. baki2 ikan kering bacin ke, sambal belacan ke, jangan lah disimpan dalam tudung saji di atas meja tu.. kalau boleh kemas terus meja.. sorokkan baki makanan kat tempat lain..

Selamat mencuba....


27 November 2011

Mengimbas 1 Muharam 1433H


(Nota : maaf tersalah tajuk, nak taip 1433H ter.. taip 1455H. patut le ramai sangat yang berminat nak baca.. sorry!!!!!)

Salam.

Jam dinding baru berbunyi 6 kali, dah pukul 6 petang. Rumah sunyi selepas penuh dengan aktiviti, Khaleed & Azam pergi main bola (lepaskan hajat, esok dah kena pergi rumah tokji semula), Haleeda dan ayahnya di laman rumah.. entah apa diceritakan pada ayahnya... Sufyan? paling displin dalam family, sedang mandi. dia sedar pergerakannya lambat, jadi sebelum pukul 6 petang, dia akan mandi dulu dan bersiap untuk solat maghrib.

Alhamdulillah Sambutan Maal Hijrah kami menepati citarasa saya, masa berkualiti untuk keluarga. Petang semalam kami sempat berkumpul untuk mengaminkan doa akhir tahun & awal tahun, dipimpin oleh suami aka PakNgah le tu. Jadi meriah sebab keluarga Ucu Piah menyertai kami. Walau pun Muiz meragam waktu mula solat mahgrib, alhamdulillah Ucu Piah sempat berjemaah bersama-sama. Ucu Piah & family balik Segamat naik keretapi tengahmalam semalam.

Pagi ni, kami sekeluarga Solat Subuh berjemaah.. sesuatu yang memang tak sempat pada hari kerja. Lepas tu ronda2 dan terus makan roti canai direstoran berdekatan. Balik rumah, sempat le saya & Haleeda petik pucuk ubi. Menu tengahari tadi Nasi Lemak , hasil air tangan kami sekeluarga.



Nasi Lemak dimasak oleh PakNgah.
Sambal Ikan Bilis, sapa lagi, saya le..
Pucuk Ubi, dipetik oleh Haleeda & Khaleed, direbus oleh saya jugak.
Telur dadar (terlupa letak garam), oleh Khaleed.
Azam - tukang hidang.
Abang Pyan, seperti biasa, menikmati masakan mak dia...

Haleeda - melayan perasaan,
Khaleed - cari lagu di Youtube untuk  halwa telinga kami,
PakNgah - gunting rambut sendiri.

Khaleed memotong batang pisang untuk hidangan arnab kami...

Sufyan - sentiasa menjadi peneman setia.

arnab bermalas2an...
tukang gunting rambut tetap kami....

azam - tolong kupas bawang putih.. kejap je...
Semoga tahun baru Hijrah ini akan lebih baik dari tahun yang telah ditinggalkan.....
Semoga kehidupan kami diberkati Allah..
Semoga keluarga kami sentiasa ceria dan
Semoga anak-anak kami menjadi insan cemerlang, gemilang dan terbilang didunia dan akhirat..
Amin...

26 November 2011

Doa akhir tahun & Doa awal tahun

Dah asar dah.. dah janji dengan anak-anak, pukul 6 balik, mandi bersiap untuk baca doa akhir tahun & awal tahun.

Cari youtube.com jumpa doa akhir tahun & doa awal tahun.

Doa akhir tahun.

Doa awal tahun


SALAM MAAL HIRAH UNTUK SEMUA.
SEMOGA TAHUN MENDATANG AKAN LEBIH BAIK DARI TAHUN  YANG BAKAL KITA TINGGALKAN.. AMIN...

25 November 2011

Resepi : Daging Black Pepper

Salam,

Lama tak online, makin duduk rumah makin busy. Hujung minggu lepas, modem kat rumah ni rosak.. kena petir... Malas nak bebel lagi, dah pesan kat anak2 kalau hujan off modem, tapi dia tolak dia, dia tolak dia, sudahnya tak sempat off dah kena petir... what to do..

Awal minggu pulak bawa budak2 pergi berjalan, balik kampung, sudahnya 2 hari lepas baru sampai rumah. Seperti biasa, buat muka kesian kat Pakngah Shukor. Dia dah tolong belikan modem baru, siap install lagi... terima kasih pakngah  hehehe.. lepas ni kembali aktif ber"online"...

Bila dah berjalan, tak bershopping lah kita. Yang ada kat dalam peti ais, cuma daging korban dan tulang je... Hihihi.. tokabah pulak jadi penyelamat, datang tengahari tadi siap bawa lauk.. Yaaaahooooo tak payah masak.. Tapi petang ni tak masak segan le pulak.. nampak sangat pemalas.. (walau pun memang malas!) Jadi, korek jugak le daging yang ada kat peti ais tu.. hasilnya .. ha.. tengok sendiri le kat gambar dibawah...


DAGING BLACK PEPPER

Bahan-bahan :
Daging - hiris setebal 1 cm,
Bawang Besar - 1 biji besar (potong 8)
Bawang Putih - 2 ulas (ketuk )
Halia ( 2 inci) - hiris
Lada Hitam (black pepper) - tumbuk
Sos Tiram
Kicap Masin
Kicap Manis.

Cara-cara membuat nya...
Rebus daging, masukkan sedikit hirisan halia.
Bila empuk, masukkan Bawang, bawang putih & lada hitam
Masukkan pula Sos Tiram, Kicap masin & Kicap manis
Bila dah masak, angkat & hidangkan...

Hiasan
Daun bawang, daun saderi & bawang goreng.

Nota :  Untuk resepi tadi, saya tak guna garam dan perasa. Rasa kicap dah cukup


  

03 November 2011

Mee Goreng ala makngah...

Hari ke 3 jadi surirumah..

Makngah rajin hari ni.. hihihi..puji diri sendiri lah pulak...
Pagi tadi buat sarapan Mee Goreng.. 
resepinya? ala. .senang je...


Mee Goreng ala Makngah...

Bahan-bahannya...

- Mee kuning.
- Bawang besar / bawang putih / udang kering / lada kering (kisar)
   (pakai lada boh pun boleh juga...)
- sayur sawi
- telur
- sos cili / sos tomato
- garam / gula / sedikit perasa (jika suka)

Cara membuatnya ;

- Panaskan minyak, telur tu buat macam scramble egg dulu, angkat...
- tumis bahan yg telah dikisar sampai naik minyak
- tambah garam / gula / perasa.
- tambah sos cili / sos tomato (sos ni sikit je, untuk tambah warna & perisa)
- masukkan sayur, biar sekejap.
- masukkan mee kuning dan gaul hingga masak.
- sebelum angkat mee, masukkan telur scramble tadi, kacau2 sikit... angkat...

Masa penyediaan :
tak sampai setengah jam pun sebab hari ni mengelat pakai lada boh... kihkihkih....
Kalau mokcu, dia suka masukkan fish ball / fish cake bagai.. ok je. no hal.. yang penting rasa rencah dia...
Sebenarnya makngah suka letak taugeh dgn daun kucai, tapi pagi tadi tu je yang ada.. ok je .. kita yang buat dia.....

Senang kan? Selamat mencuba.... 



02 November 2011

Hujan oh hujan...

Hari ke 2 kembali menjadi surirumah....
hari ni masak Nasi Goreng untuk hidangan anak2 ke sekolah... sorry tak sempat ambil gambar dah habis dah...
Semasa tunggu van sekolah datang, hujan turun.. saja nak share foto yang diambil semasa hujan tadi...


Haleeda buat apa tu....
Hari Rabu - abang2 kena pakai baju pasukan beruniorm pergi sekolah...

air hujan ditadah untuk menyiram pokok

titisan air hujan di daun pisang..

01 November 2011

Mee Sup for lunch

Salam.

Hari Pertama jadi surirumah setelah penat bekerja... opps, belum niat nak pencenlah.., rehat je....

Menu tengahari untuk anak-anak kesekolah adalah Mee Sup.
Gambar dibawah ditampal dengan niat untuk menggoda.. hihihi...


bahan2 untuk mee sup seperti diatas adalah..

- mee kuning (bahan utama le tu)

- bawang besar, bawang putih & halia (kisar halus)
- bawang besar hiris (saja nak nampak ada bawang. )
- udang kering
- sayur sawi & lobak merah
- tahu / fish ball / fish cake
- lada merah / cili padi.
- kiub ayam.

Cara memasak...

- tumis bawang kisar dan bawang hiris, masukkan sekali udang kering, biar sampai naik minyak...
- tambah air untuk jadikan kuah.. ikut keperluan lah...
- biar mendidih, tambahkan kiub ayam.
- tambah tahu /  fish ball / fish cake, sayur sawi & lobak merah, lada merah & cili padi.
- tambah mee kuning, biarkan sebentar...
- angkat & hidangkan...

alamak, lupa letak rempah tumis.. ok le tu....
senangkan? kalau nak tambah ayam ke udang ke daging, ikut suka lah..
kita yang buat dia....

28 October 2011

ADILA @ Klasik Nasional - ND Lala

Saya peminat ADILA - Aku, Dia & Lagu di Radio Klasik Nasional.
Peneman saya memandu balik kerja.
Siaran 17 Oktober, saya jatuh cinta dengan perkongsian ND Lala..

ADILA @ Klasik Nasional - 17 Okt 2011


benarkah ini rumah kita,
jika benar duduk dikerusi,
jangan duduk dilantai saja...
benarkan ini rumah kita,
makan lah isi
jangan hanya hirup kuahnya....



Negara ini negara industri, kita menumpang dinegeri sendiri
bagi saya yang kerja di sektor industri...sungguh terkena dihidung sendiri....

24 October 2011

Bila kemanusiaan hilang....



Sedih bila lihat berita kematian Muamar Gadafi.
kenapa hati manusia jadi begitu keras?
Jika mendokong Islam, kenapa sunnah Nabi dilupakan?
Kenapa nafsu amarah menjadi ikutan....
Nabi menghormati musuh walau dalam peperangan...
Tidak sesekali membunuh musuh yang sudah tidak berdaya
apatah lagi membiarkan mayat tanpa disempurnakan...
kemanakah pergi nilai kemanusiaan mereka?

21 October 2011

I made up my mind.




Siang tadi dengan selambanya bos kata- " you need to stay for another month", my translator only will join mid November....

sedih, geram, marah, perasaan bercampur baur. Permintaan dan tawaran tak ikhlas, hanya nak melepaskan sesak sendiri. Memang benar,  saya belum cari kerja lain, benar juga, saya perlukan pekerjaan. Tetapi saya tidak rela maruah diri dicarik2. Saya tolak permintaan itu dengan baik.

Pendirian saya senang, saya tak minta bulan dan bintang, hanya sekadar, give me the same pay, same position & on permanent basis. If you cannot see my value, others may see.  Maybe my rezeki is somewhere else.

Dear Boss, what happen after I left is not my problem anymore. You and the others better learn to pick up your handphone after working hours, there might be emergencies. You all also need to take ownership of the job task. Blamestorming attitude need to scrap into the dustbin.

Sorry boss... I made up my mind.... do or die. You give me what I want or no go....




20 October 2011

I love my job...

Tinggal 10 hari saya ditempat kerja sekarang,
kontrak tamat dan tawaran dari pihak syarikat untuk terus bekerja tidak menyebelahi pihak saya.
walau pun saya sayang kerja saya, saya perlu bertegas demi hak saya.
tapi saya tetap meneruskan kerja, melangsaikan baki tugasan..
Walaupun saya sepatutnya tidak perlu risau, apa bakal terjadi setelah saya tiada
tapi hati ni degil, tiap hari sampai rumah bila azan maghrib dah berkumandang,
mesti siapkan kerja sebelum hujung bulan...
tak mau menyusahkan rakan2 yang tinggal...

senja tadi saya ditegur oleh suami...
" ada cerita nak sambung kerja ke?"
" rasanya dah tak perlu beriya2 siapkan kerja...."
hehehehe.. jawapan standard saya...
I love my job..
saya siapkan tugasan bukan kerana nak bos lihat
saya nak mudahkan kerja orang lain agar tiada deringan telefon bertanya itu dan ini
bila saya dah tak ada disana nanti...
walau pun saya geram dengan bos saya
tiada niat untuk meyusahkan atau memadankan mukanya bila tak berupaya settlekan masalah depan mata
walau pun rakan sekerja dah mempersenda..
dia hanya tin kosong yang berbunyi gah masa saya ada...

mati harimau meninggalkan belang
mati manusia meninggalkan nama..
biarlah nama yang saya tinggalkan seharum mawar seindah suasana....


15 October 2011

DAY AFTER TOMORROW

Setelah tertidur sebentar, segar pulak mata malam ni...
di TV2 - DAY AFTER TOMORROW
tak dapat bayangkan sekiranya fenomena ini benar2 berlaku....





12 October 2011

jalan-jalan : dari jendela ekspress rakyat

Haleeda melihat ke luar jendela keretapi





tayar keretapi...
singgah distesen Gemas


cuba tengok dibelakang seat tu.. huhuhu... mana mejanya?
akar pokok tu lebih besar dari jengkaut..









11 October 2011

Ekspress Rakyat : alangkah bagusnya.....



Hujung minggu lepas saya ke KL untuk majlis reunion kawan2 semasa belajar di ITM. Menjangkakan majlis akan menjadi panjang dan tak sampai hati membiarkan suami dan anak2 terpaksa menunggu, saya mengambil keputusan ke KL menaiki keretapi, Biar saya kongsi perasaan dan pengalaman saya disini..

8/10/2011 (Sabtu)
9.55 pagi bertolak dari stesen keretapi Kulai. Sungguh mudah kerana saya membeli tiket secara online. cuma kerusi plastik di stesen kulai tak dapat menampung badan saya yang comel ni... kenapa lah tak diganti kerusi yang dah pecah.. takut makcik nak duduk...

perjalanan ke KL sungguh lancar. Sesekali terganggu kerana asap rokok masuk ke dalam koc kerana pintu koc tak boleh ditutup. Bagaimana pun pemandangan dari koc kantin sangat best.. alangkah bagusnya kalau KTM menyediakan kantin yang lebih "proper". Saya bersama anak gadis saya Haleeda beli nasi lemak dan air teh tarik 3 in 1. Makan sambil menikmati pemandangan diluar, rasa macam dalam filem.

kami tiba di KL sentral pukul 2.45 petang. Kami dijemput oleh rakan saya di luar stesen. Mudah dan cepat...

9/10/2011 (Ahad)
Pukul 8.35 pagi, saya ke gate B setelah bertanyakan arah kepada petugas di KL Sentral. Tiada petugas KTM, saya mengekori kumpulan dihadapan untuk menuruni eskalator, tiba2 suara dari belakang.. "oi kak, nak gi mana?" petugas berbaju biru memanggil saya dengan muka bengis. Cantik sungguh ayat beliau.. KTM perlu hantar petugas kursus etika berurusan dengan pelanggan nampaknya.

Keretapi lewat lebih kurang 10 minit. kumpulan pelancung warga tua dari Jepun mendahului saya. Air cond koc yang saya naiki untuk ke selatan, tak sejuk, ditambah lagi dengan kekerapan pintu dibuka untuk penumpang pergi menghisap rokok dan bilik air.. berpeluh dalam koc. Haleeda mula merungut.. saya ambil keputusan membawa Haleeda ke kantin. Jalan punya jalan, dah sampai kehujung,tiada kantin.. belakang saya seorang pelancung dari jepun juga mencari kantin! rupa2nya makanan dijual di troli saja. Sayang.. pelancung jepun tersebut mungkin seperti saya mengharapkan berehat dikantin.

Seorang demi seorang pelancung warga tua tersebut menuju ke bilik air, kemudian berpaling dengan muka berkerut. Bayangkan tandas cangkung didalam keretapi yang bergegar.. harus tertonggeng mereka yang sedang berurusan ditandas. Mangkuk tandas pula.. hai.. dah tak putih.. nampak kelabu adalah... Orang Jepun sangat teliti bab tandas.. untuk menarik pelancung ke Malaysia, KTM sepatutnya lebih prihatin tentang  keperluan pelanggan.

Alhamdulillah kami sampai stesen kulai pukul 2.45 petang. Keseluruhan perjalanan, sungguh lancar, cuma panas... Saya suka perjalanan dengan keretapi, mungkin kerana mengembalikan nostalgia waktu muda2. Tapi koc ekspress rakyat, rasanya dah patut sangat upgrade. Kocnya buruk, dah lah tak ada kantin, meja tempat letak makanan banyak yang dah tanggal, macamana nak makan dengan selesa...mungkin pihak KTM perlu juga beri perhatian kepada pemandangan diluar.. pokok menghijau memang cantik, tapi semak ditepi landasan, sungguh menyemakkan mata....

Keretapi adalah medium pelancungan yang sangat bagus, selesa dan tiada trafik jem. Tourism conscious perlu diterapkan oleh pihak KTM terhadap produknya dan juga para pekerjanya bagi menyumbang kepada tourism malaysia....

04 October 2011

KERJA ATAU RUMAH?

Pagi tadi Haleeda tersenyum simpul bila saya call transport suruh ambil dari rumah... "mak tak kerja eh?", ibarat kata ayahnya.. senyum macam nak kena tampar..... balik sekolah agama mengada-ngada la pulak, makan nasi pun minta suap....

Kontrak kerja saya dengan majikan sekarang sehingga hujung bulan ni... Bila teringat peristiwa pagi tadi, rasa macam nak duduk rumah saja. Tapi terlalu banyak perlu dikorbankan kalau saya nak jadi surirumah sepenuh masa... ye la.. dari pendapatan 2 orang kepada 1 orang saja... Ada tak kerja dari rumah yang pendapatannya agak lumayan. Yang pasti bukan internet scam atau multilevel marketing... cukup2 la dengan pengalaman lalu....

01 October 2011

SAYA TERGODA....

hahaha.. tergoda dgn kamera digital kat kedai le....warna purple nikon coolpix sangat menggoda...




dah terbeli pun... huhuhu.. kebetulan kamera digital samsung bual hal, sedih... gambar raya tahun ni sangat tak meriah.... ambil pakai hp je...

walau pun hati kata DSLR... tapi kepala kata.. bulky le...
yang ni boleh masuk handbag.
Insyaallah... masih ada lain kesempatan....


30 September 2011

Jalan-jalan : Putrajaya oh putrajaya

Sabtu lepas pergi ke Putrajaya untuk menghadiri majlis perkahwinan dua pupu saya...

Alhamdulillah.. majlis perkahwinan seperti  biasa menjadi majlis pertemuan saudara mara yang berjauhan, ibarat  kasih bertaut kembali. Selain bertanya khabar saudara mara yang dah tua, jadual saya juga kena book... bulan 11 satu majlis di UTM, JB. Bulan 2 pun ada lagi satu..

Paling saling hati.. hm... seperti biasa, bila dah masuk putrajaya mesti tak jumpa jalan balik ke highway plus. Apa masalah nya ek.. adakah kami masuk salah lorong atau papantanda yang hijau tu dah menyorok disebalik rimbunan dahan dan daun yang tidak dipangkas?

apa2 pun, sangat gembira kerana lalu di masjid besi.


04 September 2011

hantu takut tengok ...?


Raya-raya ni sibuklah keluar iklan cerita hantu kat TV.. tak suka!!!!!!!!... tak suka pun ada pilihan ke, kena tengok jugak!
Cuma saya tertarik kat ayat makcik dalam drama tu "ko bogel je, nanti larilah dia..." - merujuk kepada watak lelaki disuruh bogel? auw..... lepas tu keluar pulak hantu menjerit tengok watak lelaki lepas tuala...
saya teringat nyai pernah cerita kisah masa dia kecik2 kat kampung dengan tokcik. Pernah sekali tu masa nyai & tokcik ikut atuk perempuan pergi kutip durian kat kebun, nyai kata atuk perempuan singkap kain dan jerit lari!!!!!!  Masa tu nyai & tokcik cuma ketawa sambil lari sebab nampak atuk perempuan punya... (hahaha.. faham2 sendiri...).
Betul ke para hantu malu tengok kemaluan manusia? musykil... musykil...

02 September 2011

RAYA OH RAYA

 

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin.
.
Sehari sebelum raya : saya rewang dirumah tokabah di JB
Hari Raya Pertama : JB - Segamat. Acara  tahunan berkunjung ke rumah saudara mara sebelah suami terpaksa ditangguh kerana hujan.... lagipun Mak Ana beraya di Felda Pemanis dulu...
Hari Raya ke 2 : berkonvoi raya disekitar segamat kerumah saudara mara sebelah suami. Seperti biasa tokmoh dengan wajiknya. Marvellous! makan makan dan makan lagi...
Hari Raya ke 3 : Segamat - Chaah - Muar - Kulai.. beraya bersama tokabah & mokcu ke rumah saudara mara sebelah saya pula...Tokbusu yang sudah uzur semakin dengan airmatanya.. tapi alhamdulillah ingatan beliau sangat kuat. btw, dirumah tokbusu berjumpa dengan sepupu arwah mak yang pernah menjadi classmate semasa di ITM dulu.
Esok, hari raya ke 4 : Cadangnya orang Segamat nak turun Kulai pulak.....

Amat bersyukur kerana masih mampu bergembira menikmati suasana hari raya dibumi Malaysia  yang aman damai ini.....

26 August 2011

Salam,

ohisashiburi desu... orang jepun kata long time no see.. hehehe.... nak kata update blog lagi satu tak jugak..  tak ada alasan.. cuma ada hati nak buka blog ni.. setakat buka je .. lepas tu.. skrin tengok saya ...

dah hari ke 25 berpuasa.. esok dah hari ke26. Haleeda hari-hari dok tanya.. tinggal berapa hari lagi mak.... Setakat hari ni alhamdulillah, belum ada anak2 yang buang puasa.. Haleeda yang belum 7 tahun pun kuat berpuasa...

Hari ni nak cerita pasal budak2 menunggang motor... aduhai.. sekarang ni ramai betul betul budak2 menunggang motor kat kawasan perumahan saya ni... budak2 tu ibarat kat suami saya.. confirm tak ada lesen.. memang ya pun, rasa2nya semua tu bawah tingkatan 2, sekolah rendah pun ada...

In the first place, mana budak2 tu dapat motor? mak bapak diaorang tak kisah ke anak mereka menunggang motor? ke mak dia menggalakkan dengan menyuruh anak pergi kedai.. ala macam kat iklan tv tu, botol sos pecah kat jalanraya.

Kemudian, budak2 tu berkumpulan menunggang waktu malam.... waktu terawih pun dah lepas... adakah saya yang kolot atau mak bapak budak2 ni terlalu open. Kalau terjadi macam kes budak motor kena tembak waktu tunggang motor pukul 3 pagi macamana? .waktu tu patutnya budak2 tu dah tidur kat rumah..

Selamat menjalani hari-hari terakhir ibadah puasa.. juga selamat menyambut hari raya, maaf zahir dan batin.

09 August 2011

cantik atau menakutkan.?

Salam,
Semalam terjumpa gambar ini di Yahoo.com. Katanya diambil sewaktu awan membentuk sebelum berlaku tornado atau puting beliung di Kanada bulan lalu. Berita lanjut -------> . http://news.yahoo.com/photos/snapshots-week-of-june-3-1307133161-slideshow/

saya nampak seolah-olah seekor helang sedang mula mengganas.. menakutkan....

27 July 2011

my boss loves me.

Siang tadi MC, tiba2 je rasa seram sejuk. 

Bila jumpa visiting doctor, dia tanya nak MC tak? buang tebiat doktor ni.. biasa tak pernah dapat MC dari dia.... off course lah.. siapa tak nak? Masa nak keluar bilik doktor tu sempat gurau.. YOU BOSS GONNA MISS U.

yang tu ada kebenarannya... my new boss.. aduh... he really likes me.. apa tidaknya... 10 minit sekali cari saya, sampai pergi toilet pun dicari. bayangkan 1 hari berapa jam kat ofis, rasa2nya tak kurang 20 kali dia panggil saya. adoi.. cukup2lah boss, ada jugak ngigau panggil nama saya... ha .. padan muka kalau mem tanya... 

orang baru, idea baru, cara kerja baru. hari2 balik lambat pun tak terkejar menyiapkan kerja... aduh.. sejak bos start kerja, kerja rutin saya dah naik berkulat.. dok tambah kerja add hoc. Hari2 balik lambat settlekan kerja rutin lepas office hours. mana boleh jadi macam ni.

Siang tadi, walau pun dari pukul 10 lebih dah letak MC atas meja boss, boleh ke dia buat tak reti dok tambah2 kerja. Hm...nasib engkau lah boss... selagi aku larat, aku ikutkan.. kalau dah tak larat.. bye bye... Jangan lupa.. sekarang employees market...

20 July 2011

Tungku Garam Herba... best rupanya....

Masa participate kat KEPAK Karnival di Persada tempohari, saya sempat singgah di booth berdekatan dengan booth kami. Tergoda juga dengan iklan kawan2 baru kenal di booth mereka... tapi yang paling kerap digunakan ialah TUNGKU GARAM HERBA dari booth Saujana Herbs. 

Kesian Su yang dok ajar cara memanaskan tungku tu.. suruh panaskan kat oven lah... panaskan guna seterika lah.. hehehe.. saya yang sedia pemalas ni guna cara paling ringkas, panaskan kat microwave selama 30 saat hingga 1 minit. Takut nak panas lama2, takut terbakar pulak kain bungkus tungku tu.... lepas siap kerja rumah, panaskan tungku kat microwave oven, letak belakang leher... bestnya... kalau dah letak tungku tu kat belakang leher mesti terlelap kejap.. sedar2 je, lega segala ketegangan....

saya bukan nak iklan produk, jadi tak nak kuasa nak letak gambar.. tapi dah namanya tungku garam herba.. memang ada bau herba....sebab tu saya pakai waktu malam je.... ngantuklah pulak...good nite.

24 June 2011

PERSADA OH PERSADA....

Salam
Hari ni makngah jadi burung hantu lagi.. malam jumaat pulak tu.... hihihi....
Hari ni tak kerja di ofis, jaga booth di Persada Convention Centre, fuh..punyalah penat. Biasanya banyak duduk ngadap laptop je, hari ni macam berbaloi lah gaji yang diterima dari majikan.... lepas solat maghrib mata dah tak boleh tahan... sedar2 cik abang dah kejut.. dinner.... hmm....hari ni tak masak... pakngah masak lauk kat kedai.. nasi pun dia dah siap masak.. hehehe... sesekali rehat dari kerja di dapur...

23-26 Jun 2011, 4 hari jaga booth kat Karnival KEPAK (Kerjaya, keusahawanan dan ... apa lagi ye.. tak ingat dah....). karnival 10pagi - 10mlm. tapi saya jaga siang je.. hehehe... kelebihan jadi bos, boleh pilih time. Nasib baik dapat anak buah yang sangat komited, boleh bos relax sikit.

Kat sana macam2 ada... (macam iklan astro lah pulak). depan booth kami, booth ayamas, depan sikit lagi booth minyak kelapa dara... depan booth tu pulak booth kopi nenas... sempat gak tengok gerai yang promote langsir....nak beli langsir raya pun boleh.... tak pergi rugi..... Hari pertama, hari khamis pulak tu... yang ramai datang berkunjung budak sekolah. Hari ni ramai budak pakai baju oren datang, makngah yg curious ni tanya le kat salah sorang budak2 tu.. ni dari mana? boleh ke sorang budak India tu jawab, penguatkuasa MBJB. oooo... loyar buruk ye.. siap kau kalau isi borang minta kerja kat booth aku.. tahu le aku meloyar buruk balik kat kau nanti....

PERSADA.. wow.. sangat gah.. tapi satu je tak best.... dewan boleh buat acara yang boleh tampung ribu2 orang, toilet.. alahai.. kalau toilet lain tu tak check lah.. tapi dekat dengan KFC tu... daifnya.... kalau tak salah cuma ada 3 pintu je kot... toilet perempuan lah... orang punyalah ramai.. dah lah tu... tempat flush tu boleh ke dah kopak.. macam nampak tulang robocop lah pulak..... please lah....  walau pun Malaysia dah boleh gah tentang bangunan konvensionnya... bab toilet mesti least priority... grrrr... dah lah tu, sehari beberapa kali mengulang toilet tu.. tak nampak pun kelibat cleaner! bercinta bila mengenangkan ada 3 hari lagi terpaksa bersabar dengan toilet yang tak standard tu....

oklah.. kena tidur juga ni.... lain kali sambung lagi....

18 June 2011

Bahtera Merdeka...


jumpa video diatas di Youtube....
tajuknya Bahtera Merdeka Orkestra RTM..,
Terima kasih atas usaha orang yang upload lagu ni....
Lagu ini adalah sumbangan dari Mohamad Saufi Abdul Wahid, pemuzik kombo RTM Johor untuk Klasik Nasional, bukan dimainkan oleh Orkestra.
Asalnya lagu ini digunakan sebagai "background" untuk sajak merdeka yang dibacakan oleh DJ Ismail Ibrahim untuk siaran Johor FM.

p/s : Saufi wahid.... aka my beloved pakngah lah.....

13 June 2011

nasyid dalam bahasa jepun.


salah seorang fb friend saya post nasyid ini di wallnya....
alhamdulillah.... kalau dulu islam adalah sesuatu yang sangat alien di jepun
skrg sudah ada orang jepun sendiri yang mahir tentang islam

11 June 2011

DONG YI - kisah cinta....


Tak sangka saya dah khatam 60 episod DONG YI. 
Soundtrack - marvellous.
Pelakon - walau pun saya tak pernah lihat mereka sebelum ni, tapi ada magnet membuatkan saya melekat depan skrin.
Pemandangan - cantiknya..... kelebihan cerita korea, mereka memasukkan keindahan alam untuk menarik tourism....
Bahasa - apa kisah.. ada subtitle...
Isinya - Kisah cinta dan politik yang boleh kita jadikan pengajaran....
SANGAT2 BEST....
  • anak yang sangat tabah dan terpaksa mengharungi pelbagai dugaan untuk membersihkan nama keluarga.
  • anak yang dididik supaya sentiasa berfikiran positif dan tidak berdendam sejak kecil, membesar menjadi manusia yang positif dan bijaksana.
  • Kebijaksanaan wanita mampu membuatkan orang lain gerun.
  • Inferior complex membuatkan manusia akan jadi kaki buli. Menggunakan kekuatan fizikal dan politik untuk nampak gah.
  • Berkongsi kasih - ada wanita yang redha, ada wanita yang menjadi pendendam. Dendam yang membawa kepada kemusnahan diri.
  • Orang yang berada ditempat yang mempunyai authority perlu bijaksana dalam menilai orang-orang disekeliling. Jika tidak, mereka akan dipergunakan oleh orang-orang yang bercita-cita tinggi.
  • Suami yang sedar kelemahan diri dan bangkit mempertahankan keluarga.
  • Akhir sekali, dalam politik akan sentiasa berpuak. Manusia yang tidak tegas pada diri sendiri akan hanyut dengan aspirasi politik orang lain. Politik tidak kotor tetapi pengamal politik yang tidak jujur membuatkannya nampak kotor dan orang2 ini beranggapan bahawa semua orang seperti mereka...

06 June 2011

PENTINGKAN DIRI MENJADI JATI DIRI?

Petang tadi on the way balik kerja, saya pasang IKIM FM, segmen keluarga sakinah.

Kata Prof Datuk Sidek Baba, anak kita dididik supaya ada jati diri.. hmm..very true.... tetapi sejauh mana kita berupaya mendidik anak-anak supaya ada jati diri sedangkan kita sendiri sebagai ibu bapa, kadang-kadang lebih pentingkan diri.... Kepimpinan melalui tauladan... bagi anak2 tabiat ibubapa yang diperhatikan menjadi budaya, dan budaya membentuk jati diri... hm.... subhanallah....

1) Kita sayang anak, kita hantar dan jemput anak dari sekolah, Kita berhentikan kereta tengah jalan tanpa memperdulikan samada pemandu lain boleh lalu atau tidak... kadang-kadang macam2 pesanan kita bagi kat anak... sabar sungguh pemandu di belakang kita yang tak reti nak tekan hon... mungkin hon dia rosak.. sangka baik....  kalau dia dah lambat, pandai le dia overtake ye tak?

2) Kalau lah ditakdirkan masa kita lalu lampu trafik baru tukar ke warna merah... ada kita kisah nak berhenti? kita terus je....anak tanya kat kita. kenapa tak berhenti? kita kata.. ala.. nak cepat..... kalau polis saman, kita marah balik polis tu,, kita kata dia  berlagak, tak boleh tolong bangsa... kesian polis tu...( tak apa bang polis.. orang macam tu tak payah tolong.... bukan reti kenang budi...).

3) Kalau jalan jem.. masa ni le kita nak tunjuk skil... ala.. kita nak cepat.. orang lain pun guna laluan kecemasan jugak! Kalau kat depan tu ada lampu trafik lagi best... kita cilok betul2 kat depan lampu. Kalau pemandu lain tak bagi laluan, kita tunjuk isyarat tangan... tak lah.. bukan angkat jari hantu tu... kita manusia civilised... kita cuma buat macam auntie kat cerita tamil tu.. ayoyo.... tapi kita kata.. ape da... sambil jeling kat pemandu sebelah....

kat tu baru 3 je contoh.. banyak lagi tabiat dan sikap kita yang anak2 perhatikan.... adakah PENTINGKAN DIRI bakal menjadi JATI DIRI anak2 kita?

27 May 2011

malam jumaat bawah pokok pisang.....

ha.. tu le sebenarnya skrg ni..
saya tengah online kat bawah pokok pisang
sambil tunggu mesin basuh menjalankan tugasnya...
cik abang...
ada.. tengah temankan saya sambil mimpi...
ala.. perkara biasalah tu....
asal teman.... nanti kata tak teman pulak....

detik 12 malam dah berlalu
ralit pulak tengok arnab tak reti tidur..
sama macam saya ek...
sejak kandang arnab dah siap..
arnab-arnab kami biarkan ....
main kejar2 sesama mereka....

kesian kat kelabu..
kalau dalam kandang kecil ..  senang dia nak kenen2 si coklat...
tapi skrg ni.. coklat buat aksi malu2 kucing...
lari keliling pokok pisang...
macam cerita hindustan....

oklah... masa untuk masuk tidur...
esok nak kerja....
selamat malam....

24 May 2011

SEMANGAT DONG YI...

Sibuk sibuk sibuk.....
itu je yang sempat terucap
esok orang nombor 2?, 3? 4? nak ziarah kilang
lusa pulak.. orang no 1 dalam syarikat....
fuh.. penat nya....
dengan kerja sendiri, kerja tambahan....
penat.....

tambah lagi...
jepun hantar 2 orang...
cakap omputih sepatah dua je...
huhuhu... makcik stress,
benda kecik pun panggil makcik...

tapi blessing in disguise 
bahasa jepun yang dah berkarat
terpaksa dipolish semula.
ada masa susah sangat nak keluarkan
macam  tak kena je ayatnya...
dah cakap baru tau.. 
hehehe.. salah penggunaan...
sabar je lah... orang2 jepun tu pun....
macam faham je apa makcik kelentong...

skrg ni tengah kemaruk cerita DONG YI
cerita korea yang sangat best.
tapi bukan cerrita sangat pun yang makcik nak
cuma nak dapatkan semula 
semangat dan kesungguhan 
org jepun / korea dalam mengharungi hidup...
untuk kehidupan seharian...

terIma kasih dong yi,,,,



16 May 2011

SELAMAT HARI GURU....

Hari ni semua anak2 sekolah pagi.. ada sambutan Hari Guru di sekolah....
Balik rumah Haleeda mengadu, cikgu cuma ucap terima kasih kat kawan dia saja. 
Kesian dia.. malam tadi dia belikan hadiah untuk cikgu..
 mungkin cikgu tak perasan....
abang2 Haleeda.. ala.. budak lelaki.. tak peduli pun....

Malam tadi lepas penat menggosok baju
saya buka tv kejap...
ada cerita TO SIR WITH LOVE..
nostalgia...
masa tingkatan 5 di SIGS, tahun 1982 (vintage dah....)
kami nyanyikan lagu ni untuk guru kelas kami, Mr LIM.
Cikgu Lim antara rare species kat sekolah perempuan
jadi memang selalu kena buli dengan kami...
tapi dia sangat ambil berat tentang pelajaran kami.
dalam semua subjek sains, saya paling tak suka fizik.. 
tapi, tu le yang lulus.. agaknya sebab cikgu Lim yang ajar.. hehehe...
TERIMA KASIH CIKGU LIM.




14 May 2011

Selamat Hari Ibu...

Dari anak yang masih mentah
ibu ku selalu mengarah
tak diikut akan marah
walau geram tetap pasrah....

Bila aku meningkat dewasa
Menjadi ibu aku merasa
anak dididik agar sentiasa
menjadi terbaik setiap masa

hati ibu untuk keluarga
gembira sedih dan marah juga
rencah kehidupan tanpa diduga
maruah keluarga perlu dijaga

pada ibu ingin ku kata
terima kasih tidak terhingga
semoga kau bahagia di alam sana
mendoakan kami mendapat keberkatannya....

                                                      ~ makngah, 14/05/2011~

01 May 2011

ADILA @ Klasik Nasional: Coretan Pertama, 28 April 2011

ADILA @ Klasik Nasional: Coretan Pertama, 28 April 2011: "Kiriman Pertama Khamis 28 April 2011 Dikirimkan Oleh: Saddiq Dari: Bagan Serai, Perak. Lagu Plilihan:- Perwira – Saloma Baju Hijau - S..."


SUNGGUH BANGGA !
TRUMPET SOLO BACKGROUND DIMAINKAN OLEH
PAKNGAH SAUFI.. SUAMIKU....

30 April 2011

Cinta Bunga si Tembam.

baru siap buat e-filing...
memang tau saya ni, sungguh last minute....
sambil tu mata dok tengok cerekarama
Cinta Bunga si Tembam
hehehe.. macam dekat je dengan diri sendiri....
sebab saya pun sama gak tembam macam bunga....
tapi tembam versi veteran lah....

bunga mawar memang wangi  & cantik
tapi mungkin hanya luaran saja......


23 April 2011

Niat mempengaruhi emosi


Ayat yang saya kutip dari segmen motivasi pagi di IKIM fm beberapa bulan yang lepas.
Kesan rantaian (chain-effect) bermula dari niat, 
niat yang positif akan menghasilkan emosi yang positif
emosi yang positif mendorong kepada tindakan yang positif.
tindakan yang positif.. insyaallah akan menghasilkan hasil yang positif juga....




18 April 2011

RESEPI : PUDING KASTAD

Anak2 dah bising lama tak buat puding kastad. Bahan dah beli minggu lepas tapi masih tersusun cantik atas meja.. hahaha. kalau dah kemalasan melanda.... memandangkan weekdays dah tak ada masa, baru kejap tadi kuatkan jugak lah semangat..... Resepi ni diajar oleh Pokda Halim, mungkin akhir 1980'an atau awal 1990'an.

PUDING KASTAD

Bahan untuk kastad.
Tepung Kastad
3 sudu gula
Air

Cara :
campurkan tepung kastad, gula dan air. Kacau atas api sehingga mendidih.
Setelah mendidih, tuangkan kedalam acuan, biarkan sejuk.
Potong ikut bentuk kesukaan anda.
Tips :

  • mesti selalu kacau supaya tepung kastad tidak hangus di dasar periuk.
  • terus kacau tepung walau sudah mendidih bagi mengelakkan rasa tepung mentah.



Bahan untuk kuah.
Buah2an dalam tin (cocktail, laici, nenas.. apa2 je lah ikut suka...)
susu cair 
sedikit susu manis (jika suka)


Cara menyediakan puding.
Masukkan puding yang telah dipotong kedalam bekas.
Tuang / ceduk buah2an dalam tin kedalam bekas puding kastad tadi.
tambahkan sedikit cair.

tips :

  • susu cair boleh dituangkan terus dari tin atau,
  • campurkan 1 sudu susu pekat manis kedalam campuran susu cair dan panaskan atas api.


gambarnya.. esok lah ya... kalau sempatlah.....

02 April 2011

Terengganu oh Terengganu...

Busy busy busy.. tak ada alasan lain ... hehehe.. hanya sempat menjeling anak2 update facebook sambil sendiri jengah kawan2 update status melalui sms saja. 

Hujung minggu lepas saya ke Kuala Terengganu, bukan jalan2, pergi kerja.. menyertai job fair anjuran JTK Terengganu di TTC. 4 hari disana tiap2 hari hujan, hanya sempat singgah di Pasar Payang, itupun tension... baru melangkah turun dari teksi dah dengar bunyi pekedai menarik pintu untuk tutup kedai. Huhuhu apa nak buat.. dah tujuannya kesana untuk kerja. Yang pasti walaupun sekejap cuma, sempat juga memilih kain potong untuk diri sendiri dan tokmak.. buat baju raya untuk ibu mertua ku dari menantu hantu.. hehehe...

Hari Jumaat, sampai K.Terengganu, kami check-in Hotel Grand Continental, then terus ke TTC. Hari yang kurang baik, barang yang dihantar tak sampai, kami cuma pergi tinjau lokasi ajelah.... Lepas tu ke Giant beli stationeries.. prepare just in case masalah barang tak sampai tidak dapat diselesaikan. Memang cari pasal, tak minta no telefon driver taxi konon, ha kau, redah sambil tanya orang, akhirnya kami dapat teksi kat depan Mydin.. lama tak exercise gini.. berpeluh2. 

Learnt from the lesson, hari kedua kami lebih peramah. Rupa2nya kat sana tak ada Radio Taxi, jadi kalau dapat satu no telefon taxi pun tak apa.. orang tu tak sempat, dia pass business ni kat kawan dia.. bagus betul semangat setiakawan pemandu teksi disana. Satu perkara yang saya perasan, mereka ni mesti dah ditrain bawa pelancung, explanation bagus punya.. dari atas jalan raya siap tunjukkan masjid kristal, masjid putih dan macam2 masjid lagi... tu yang petang, tutup booth pukul 4.30 ptg terus ke pasar payang. Tak ada lah ngelat sangat, setengah jam je.... on the way ke hotel, kami minta singgah tempat jual keropok, kureng sikit lah... tak boleh duduk makan sana. Bila bawak balik hotel dah sejuk...

Hari ke tiga, Ahad. Fuh, sambutan booth kami amat menggalakkan.. penat sangat... habis jobfair pukul 4.30 petang, kami balik hotel, terus tidor.. sedar2 Ray kejut pukul 7.40 malam.  Bab makan ni kami kurang rezeki lah... tempat makan berdekatan hotel, sangat2 kureng, Kami malas nak pergi jauh sebab hujan.

Driver teksi sana dok kata bulan tiga ni selalunya musim banjir.. masin betul mulut mereka.. kami balik Johor hari Isnin dapat khabar Terengganu banjir! Sabar ye orang Terengganu... 

Kami sampai disana, Negeri Terengganu dalam tempoh berkabung setelah kemangkatan bonda YDP Agong. Hairannya... cuma pengarah JTK je yang pakai songkok berlilit reben putih. Pegawai yang lain, rakyat jelata, tak ada suasana berkabong pun... bagi orang Johor suasana ni agak pelik.. masa Sultan Johor mangkat, sekelip mata reben putih dan tudung putih out of stock. Daulat Tuanku dan Hidup Johor!

22 March 2011

Gempa bumi & tsunami - kesan pada ekonomi

kalau baca tajuk diatas, fuh.. macam gempak. tapi itu le realitinya....

Bagi saya yang kerja di kilang jepun, dah mula terasa. owh.. tak perlu risau, Salah satu kilang di tempat kerja terletak di negeri Iwate, salah satu negeri yang terjejas dek gempa bumi , tapi bangunan syarikat terletak dikawasan pergunungan, tsunami tak sampai.. alhamdulillah, setakat ni belum ada pekerja yang terjejas...

Tetapi, tetap ada impak kepada ekonomi.. kenapa.. ha.. gini ceritanya...

1) Raw material kami banyak dari jepUn.. pelabuhah terdekat dengan HQ untuk eksport raw material ke Malaysia... SENDAI yang dah jadi padang jarak padang tekukur tu....
2) Barang kami bukan semua buat sendiri, ada prosesyang ditengah2 yang dioutsourcekan... kilang outsourcenya dah hanyut dek tsunami.. betul ni.. katanya...dah ada kesan tinggalan pun.... barang yang kami dah deliver tak dapat dikesan.. untuk recover balik, kenalah kami berhempas pulak, dapatkan kuantiti balik for next process.
3) Boss dah announce, kilang kat jepun kena shutdown.. alasan... letrik tak ada... ok... boleh guna generator... tapi diesel nak dapat kat mana? proses kami pulak tu potong besi.. kalau tak ada minyak? kering besi tu..

22 February 2011

Erti tanggungjawab

3 hari lepas, waktu Khaleed nak lepaskan arnab dari sangkarnya, dia menjerit... "mak.. arnab dah beranak...." melompat semua orang menerpa ke sangkar arnab, ada 5 ekor baby arnab baru lahir tergolek-golek atas lantai sangkarnya.

Tidak mahu peristiwa lama berulang kembali, kami mengambil anak-anak arnab dan alihkan kedalam kotak bulan limau mandarin. Rasanya dah banyak kali arnab2 betina beranak, tapi tak ada satu ekor pun anaknya yang hidup, samada jumpa dah mati atau ghaib begitu saja. Oleh kerana kebanyakan masa ibu dan anak arnab dikurung dalam sangkar yang sama, kami membuat kesimpulan bahawa arnab yang ghaib itu mungkin telah dimakan semula oleh ibunya....

setakat ni dah 3 hari, alhamdulillah. semua arnab itu masih hidup. si Lily ibunya kami kurung dalam sangkar dan anak-anaknya dalam rumah. Tiap kali mahu beri susu, kami keluarkan Lily untuk memberi anak2nya menyusu. Anak bujang saya si Khaleed yang suka mengelak tanggungjawab, entah kenapa begitu tekun menguruskan anak-anak arnab menyusu dengan ibunya. Mungkin Khaleed lebih faham erti tanggungjawab apabila diterjemahkan keperluan anak arnab untuk hidup dengan susuan ibunya.. semoga keprihatinan ini berkekalan dan terus berkembang.. amin.....

17 February 2011

Resepi : Ketam Masak Lemak cili padi

Semalam balik kerja singgah pasar beli lauk. Alamak tergoda dengan ketam2 yang tersusun atas meja dipasar. Resepi ni diajar oleh Maklong Jah. Macam biasalah.. saya cuma masak yang senang2 je.. tak banyak kerenah...



Bahan2nya
Ketam (nak tukar udang pun boleh je.. kita yang buat dia...)
Cili padi, lada hidup merah (asal hijau ada merah, ok lah tu.. buat cantikkan warna)
Kunyit.
Asam keping
Santan
Garam
Belacan & perasa (kalau suka...)

Cara2nya :
Bersihkan ketam,letak dalam periuk
Kisar Cili padi, lada merah, kunyit, belacan. Masukkan bahan kisar dalam periuk.
tambah santan dan asam keping.
Rebus sehingga ketam masak.
Siap....(jangan lupa masukkan garam)

Senang kan? try lah..



.

15 February 2011

anak2 demam

Anak2 saya, Khaleed dan Haleeda dah demam sejak hari Jumaat. Dah lumrah budak, lepas makan ubat, baik sikit je demam terus aktif, lepas tu demam semula. Pagi Isnin, hari keempat, saya hantar mereka ke klinik berdekatan dengan rumah. Kes mereka terpaksa dirujuk ke hospital Kulai kerana menunjukkan simptom denggi sementelah lagi kawasan perumahan saya telah disahkan ada confirmed case denggi. Nak buat macamana.. sayang anak, hantar lah mereka ke hospital.

Nasib baik Dr Zaleha dari Poliklinik Murni(gambar kat sebelah tu..copy dari google....) dah bagi ubat sebelum ke hospital. Ha kau... daftar pukul 12 tgh, check suhu badan pukul 1 tgh, check-up pkl 2 ptg (itu pun dengan MA je), nak ambil darah pun kena tunggu 30 minit. Keputusan darah keluar pukul 4.20 ptg. setelah ambil ubat, pukul 4.45 ptg baru lah keluar dari hospital. Fuh, nasib baik petugas di Hospital Kulai ramah.. walau pun sangat lambat... tak sampai hati nak marah....

Alhamdulillah, doktor di hospital sahkan bahawa Khaleed dan Haleeda bebas dari demam denggi, cuma Viral Fever. Doktor cuma bagi ubat demam dan antibiotic.

p/s : Dr Zaleha ni bekas calon pilihanraya yang lepas. Orangnya sangat lembut tapi tegas.