Sedara2ku...

16 December 2012

pisang oh pisang...


Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati.

Assalamualaikum...
Rasanya di Malaysia ni ramai tau pantun diatas, tapi tau tak pisang emas yang mana satu? Saya pun sebenarnya dah tak tau macamana rupa pisang emas. pergi pasar dok jumpa pisang rastali,pisang berangan, pisang nipah, pisang montel etc etc...

Bulan puasa lepas, ada pakcik tu beri petua, jin-jin belaan manusia ni katanya alah dengan pelepah pisang emas...Kebetulan dah rezeki saya, masa beraya di Muar saya test market, saja je tanya  kalau2 apa pelepah pisang emas.. ha kau.. dia kata, pelepah ni kalau habis kau kena datang sini lagi.. ambik je lah anak pisang satu.... alhamdulillah.... (dengan muka tak malunya...)
Gambar tu pokok pisang emas yang pakngah tanam kat tepi dapur kami... nanti kalau dah berbuah boleh le tunjuk macamana rupa pisang emas eh...



anak pokok pisang emas

Kawan-kawan yang berkongsi masalah toyol tu.. nanti dulu ah... kalau ada rezeki pokok ni beranak pinak, boleh cerita nanti.... 

btw pokok pisang emas tu sebenarna ada kat tengah2 rumpun pokok pisang nipah. Rezeki tengah mewah, semalam pakngah tebang sebatang pokok, ada 7 tandan lagi pisang menunggu untuk masak.. alhamdulillah.....
tak rugi berbudi pada tanah... 

03 December 2012

Disember datang lagi....

Disember datang lagi
Menerjah tanpa diundang
akan pergi tanpa peduli
aku disini masih terkial-kial
mengamati masa yang berlalu

tahun demi tahun
akan datang dan pergi
anak kecil meningkat remaja
yang tua ramai dah pergi
walau aku tetap aku
tenaga dan ingatanku semakin pudar
mengikut masa berlalu...

Ya Allah Ya Tuhanku
Sebelum aku dijemput pergi
doaku biar hayatku penuh memori
yang indah dan berseri
dengan bakti dan jati diri

amin....

(makngah, 2/12/2012)






29 October 2012

berdikari tu apa?

Saya : Wah, adik pandailah.. dah boleh independent.
Haleeda : Independent to apa?
Saya : Maknanya adik dah boleh berdikari...
Haleeda : Berdikari tu apa?
Saya : Berdikari tu maknanya, berdiri atas kaki sendiri.
Haleeda : Memang lah adik berdiri atas kaki sendiri, tak kan atas kaki orang lain. Adik tak faham...
Saya : Maknanya adik boleh lakukan sendiri, tak perlu bergantung dengan orang lain.
Haleeda : Bergantung ? Adik bukannya hanger.. adik tak fahamlah..
Saya : Maknanya adik boleh buat sendiri tak payah minta tolong orang lain... 

22 October 2012

SELAMAT MENJALANI IBADAH KORBAN



gema takbir dan laungan labbaikallah
seakan sudah kedengaran
hati tersentuh
aku ingin kesitu
bersama bersujud dengan para hambamu


Ya Allah
engkau maha pemurah
engkau maha penyayang
permudahkanlah segala urusanku
pintaku hanya satu
sebelum terhenti nafas dibumi
ingin bertamu dianjung kaabahmu... amin...

SELAMAT MENJALANI IBADAH KORBAN


21 October 2012

Sudirman : Hujan (HQ Audio)

Assalamualaikum

Hari ni hujan lagi....
Tiap-hari hujan....
post saya yang paling banyak dibaca sekarang  ialah doa meminta hujan berhenti...
Bagi mereka yang tinggal dikawasan mudah banjir.. tabahkan hati....
insyaallah musibah yang Allah turunkan akan diganti dengan yang lebih baik....
Cuaca sebegini terasa nak dengar lagu ini....

Korean drama time...

Tengah pulun nak habiskan drama ni di Maaduu.com
tak dpt bayangkan kehidupan seperti orang2 sebegini yang nampak segala hantu dengan mata kasar...





20 October 2012

luahan rasa 20/10/2012

mengapa
kau seperti tidak suka
mencari silapku bila peluang terbuka

aku
menadah segala sangsimu
kadang terkesima, kadang terkedu

tapi
kau tak berani bersendiri
bila berkawan baru mencari

mereka 
ibarat anak angsa
menjadi pak turut peneman saja

kawan
rawan hatimu tidak keruan
bersihkan hati tuhan tunjukkan

Ya Allah
kepadamu aku berserah
pantang undur takkan menyerah

makngah, 20/10/2012

14 October 2012

cerita hari ini - Okt 2012

mesej di telefon bimbit pembuka cerita
kau kata nak buka rahsia
aku tak kisah kalau kau tak cerita
tentu kisah pertahan diri, memburukkan orang lain pula

tapi aku layan juga
kau buka pekong tentang pari2 bertiga
suruh aku siap siaga
pari2 bakal menjadi naga....

terima kasih sayang.
insyaallah lain kali kita sembang
aku tahu nak luahkan cerita sensasi bukan senang
silap langkah sendiri kecundang

pesanku
hidup penuh jalan berliku
tersilap langkah terpijak paku
insyaallah tanpa izin tuhan, tiada yang buruk bakal berlaku

Semoga kau berjaya dalam hidup....


22 August 2012

cerita raya : Lagi2 Toyol.

Assalamualaikum
Update blog di raya ke 4.

Seperti biasa rutin kami, pagi raya pertama di rumah tokbah di JB, lebihkurang pukul 11 pagi bertolak ke Segamat rumah tokji. Tahun2 dulu kami segerombolan pergi menyerang rumah saudara2 tokji dan tokmak di sekitar segamat, sampai 7 buah rumah!, tapi tahun ni dah jadi 2 rumah je... macam tak ada mood je mereka2 ni nak jalan.. agaknya anak masing2 dah besar... lagi pun cuaca redup2 mendung.. sungguh menggoda buat tahi mata...

Hari Raya tiba2 tokji naik angin.. ingatkan kenapa, rupanya marahkan si Toyol. Apa taknya, orang tua tu dapat duit raya dari anak2 saudara yang datang berkunjung, dapat duit raya. Duit dlm sampul raya diselitkan dalam AlQuraan, tak sampai sejam, bila check balik, tinggal sampul kosong! (for the record, waktu tu cucu2 tokji semua pergi beraya.) Kali ni cuma lesap RM70 je.. sebelum ni RM500. Yang record, tokmaklah... sebelum puasa, duit bawah tilam boleh hilang RM3000!. Sorang pun tak tau tokmak simpan duit bawah tilam sehinggalah tokmak cerita... yang kat rumah tokmak dengan tokji je.. sapa lah yang nak pergi jengah bawah tilam tokmak....

tu cerita kat rumah tokji. Kat rumah saya ni ha.. dah 3 tahun kawan tu dok datang main.. sampai ketahap, saya dok bayangkan, kalau toyol tu curi duit saya lagi, toyol tu dengan tuan dia sekali terbakar kat tengah jalan depan rumah saya, biar orang kampung tau...(tapi macam angan2 mat jenin je lah... mana le saya pandai nak sumpah sampai macam tu) Nampaknya segala petua yang saya tulis dulu tu, cuma boleh pakai 2-3 hari je, kata orang, bila dia tak bawa balik duit, tuan dia akan training cara yang ambil duit tu.. bayangkan satu malam tu, saya stapler duit RM50 x 2 keping, RM10 x 2 keping dan simpan dalam purse. Purse tu pulak saya tindih dengan Al Quraan. Pagi2 duit RM50 dan RM10 tinggal sekeping je, walau pun stapler masih cantik seperti tak terusik langsung..

bulan puasa hari tu kisah saya ni sampai ke pengetahuan kawan adik, dia suruh saya telefon ayahnya lepas orang tua tu balik solat terawih. Tujuan saya nak minta petua cara2 tak nak kasi si Toyol datang main kat rumah lagi. Pakcik ni sangat berkias, dia tak sebut pun pasal toyol. Dia cuma suruh amalkan doa nabi sulaiman, doa nabi musa, dan lagi suruh letak pelepah pisang emas kat atas pintu. Katanya jin belaan manusia akan kalah dengan pelepah pisang emas... kat mana saya nak cari pelepah pisang emas ni...

Saya dan suami dah kena marah dengan semua orang, masing2 offer nak panggil bomoh dan pawang untuk tangkap toyol, tapi kami reject. Bukan tak menghargai, cuma, setakat yang saya kenal mereka, mungkin bomoh dan pawang  yang bakal dibawa tu pun akan menggunakan jin juga! saya tak mau perkara2 syirik berlaku dirumah saya, juga tak mau, ibarat terlepas dari mulut buaya masuk mulut naga.. kot2 jin kecik kena tangkap tok bomoh tu tinggalkan jin afrid pulak kat rumah saya.... subhanallah... 

Ya Allah sesungguhnya janji mu pada kami, manusia lebih mulia dari mahluk lain termasuk jin. berilah aku kekuatan untuk mempertahankan keluargaku dan harta bendaku dari mereka. amin...


10 August 2012

ngomelan ramadhan....

Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia...

Ramadhan dah nak masuk 1/3 yang akhir, rumah orang lain dah meriah dengan pelita.. kat rumah saya.. hmmm..... belum lagi.. kuih raya pun tak pikir lagi.. macamana ni.... tinggal minggu depan je puasa....

rutin harian busy sangat, bangun masak untuk sahur pukul 4 pagi, terus berjaga sampai siang. balik kerja dah nak buka, balik terawih dah nak pukul 10mlm.. hihihi..  ngelat, tengah2 minggu je ambil 8 rakaat je, konon2 esok anak2 nak pergi sekolah... sebenarnya sendiri pun tak berapa rajin...

btw, tadi kat masjid berbual dengan sorang jemaah wanita. nampak je saya, dia kata.. jumpa lagi kita kak.. kenapa dia cakap begitu? rupa2nya seminggu tak muncul dimasjid, dia dimasukkan ke wad, sakit hempedu....  dlm keadaan belum berapa sihat, tangan pun lebam2 bekas tusukan jarum, dia gigih solat terawih.. malu.... jadi malu pada diri sendiri.....

esok dah jumaat lagi. hari sabtu dah janji dengan anak2, nak sambung shopping, beli pelita, bakar biskut sejenis dua.... adui.. sangat tamak.... jangan le pulak.. macam 2 minggu lepas, masa dihabiskan dengan qada tidur... Ika dah masuk IPT, tak ada orang nak bagi motivasi buat kuih ni....

Ya Allah ampuni dosa aku.. semoga aku diberkati dengan kesihatan untuk gigih mengharungi 10 hari terakhir ramadhan ini. Selamat berpuasa dan selamat membuat persediaan untuk Hari Raya...

29 July 2012

Resepi : Sardin

Assalamualaikum & Salam Ramadhan...
Ramadhan dah masuk minggu kedua. Alhamdulillah, tahun ni dipermudahkan urusan melangkah ke masjid bersolat terawih. Tahun2 terdahulu, selalu tinggal dirumah atas sebab2 yang tak dapat dielakkan.. semoga, semangat dan keberkatan ini dipermudahkan sehingga ke penghujung Ramadhan. Alhamdulillah.. anak dara saya Haleeda yang baru darjah 2, masih belum tinggal puasa... dia juga tekun ikut pergi ke masjid untuk terawih.
Orang kata Ramadhan ni lain rumah, lain cara.. Begitu lah. dirumah saya, bab berbuka, tak kisah. asal mengenyangkan.. tak semestinya nasi. Tapi bila sahur, saya akan pastikan semua bangun dan makan nasi. Bukan sahaja mengejar pahala sunat bersahur, saya nak semua mendapat tenaga yang cukup bagi berpuasa sepanjang hari. 2 hari lepas anak-anak minta lauk sardin untuk sahur. Hihihi...mak mereka ni suka je, boleh bangun lambat sikit... cara masaknya senang sangat, resepi turun temurun dari arwah mak saya yang ditambahbaik sedikit.




sorry le gambar tak lawa mana.. pagi-pagi buta, kamera pun tak bagi kerjasama.

Bahan :
Sardin berkuah tomato - 1 tin (saiz ikut suka anda)
1 biji bawang besar (saiz sedang)
2 ulas bawang putih.
sedikit Halia
sedikit kunyit
Asam jawa / asam keping.
garam

optional :
Kentang - goreng ikut bentuk kesukaan anda.
 bunga kantan, jika suka.

Cara membuat :
1) Hiris bawang besar, bawang putih, halia, kunyit, lada hidup/cili padi.
2) panaskan minyak dan tumis semua bahan diatas.
3) Masukkan sardin dan sosnya sekali, tumis sekejap.
4) masukkan air dan sedikit asam jawa/asam keping.
5) Masukkan sedikit garam sebagai perasa.
Kalau tambah kentang, masukkan kentang yang telah digoreng dahulu, dan biarkan mendidih. rasa kentang akan sebati dengan kuah menyebabkan rasanya lebih lemak manis.

selamat mencuba...




21 July 2012

Selamat Menyambut Bulan Ramadhan

Assalamualaikum.

Alhamdulillah Ramadhan tiba lagi. Saya berdoa semoga Ramadhan kali ini saya dikuatkan iman untuk lebih bertakwa kepada Allah...

Yes, semalam permulaan yang baik... alhamdulillah kami sekeluarga telah bersolat terawih di Masjid Bandar Putra, Kulai. Hmm.. meriah sungguh, parking sampai luar... nasib baik suami selalu solat jumaat disitu, jadi tau kat belakang masjid ada parking... alhamdulillah dekat untuk angkat sufyan.. yes, sufyan solat terawih sampai habis... dia siap komplen khaleed mengelat tak habiskan 20 rakaat.. lepas 14 rakaat, dia mengelat sampai masuk solat witir.. hmm... 

Marhaban ya Ramadhan.. kita raikan bersama..

19 July 2012

Malaysians wherever we are

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Penghujung bulan Jun 2012, tiba-tiba saya mendapat mesej dari Kak Pushpa di facebook. "tolong bagi alamat, kakak nak hantar majalah lama...." awal Julai, majalah yang dijanjikan sampai ketangan saya... majalah terbitan tahun 1991..majalah yang sudah berusia 21 tahun masih cantik.... Mata terpaku pada gambar lama di Malaysian Restaurant di Chiba. gambar di majalah hitam putih, tetapi saya paparkan gambar warna yang ada dlm simpanan saya.. 

Saya taip semula isi kandungan artikel tulisan kak Pushpa Panadam untuk semua.

chiba daigaku malaysian students 

Life in Japan was a great experience for me in terms of what being a Malaysian meant. In the one-and-a-half years that I was there recently under a teachers' programme, I stopped considering myself an Indian, although I was often mistaken for one. I began to call myself a Malaysian.
I spent the first six months in Osaka, learning the Japanese language, living in an international student community. Yet, it was the Malaysians under the same programme that I sought out. We provided each other support, a touch of home, slipping unconsciously into Bahasa Malaysia. The ethnic differences melted in the larger context of the Malaysian backdrop of open homes / rooms and a feeling of family crept in.
Soon it was time to go to our respective universities. For me, Chiba, 38 minutes by train to Tokyo station, was to become home for the next one year of my stay in Japan. Life in Chiba contrasted drastically with that in Osaka at first. For one, I arrived in the foreign student dormitory in cast and crutches due to a ligament tear and it was the others teachers from my Osaka group whom I turned to for help.Despite our varied backgrounds and languages, the same programme and the similar experiences to be shared bonded us. I could not seek Malaysians out for a simple reason - what did we Malaysians look like? They were easily mistaken for Chinese, Taiwanese, Indonesians.. they in turn passed me by taking me to be an Indian, a Pakistani...
All that changes when Rosnah came to my room. She knew of me through Kak Kao, my "senpai"(senior). I stayed in Kao's room and received as "inheritance" from her, a bicycle, stove... as is the tradition in these universities. You can be sure it was much appreciated, this feeling of being cared for. Ros immediately introduced me to the other Malaysians as Kak. With that , I was warmly welcomed into the Chiba University Malaysian Community. Back in  Malaysia, I am Akka (Tamil for elder sister) which often extended to my sister's friends as well. So being called Kak I felt I was among my younger brothers and sisters.
The Malaysian were a close lot and they had a committee that organized get-togethers in true Malaysian style for Hari Raya, Chinese New Year and welcome graduation parties. We had Malaysian food stalls, talks and performed Malaysian dances at the community center. Despite their busy schedule of study and arbeito (part-time work) there was always time for a smile, small talk and tea, help and advise. Chong, a Masters student would give me a ride to the university if he was around, introducing me to his Japanese friends. The same warm welcome was extended to Mum when she came to stay with me for a month. She was Makcik (the other foreign students called her Okaasan - mother in Japanese) and was included in the University festival, helping at the stall. she was invited to a Malaysian dinner where she was the only non-student. 
My memories of these beautiful Malaysians are too many to recount yet I want to add just one. I panic when it comes to cooking and once when asked to prepare Malaysian dishes, I solved it by saying; "Hey Ros, boleh tolong Kak masak tak?" She readily replied. "Bila Kak, sekarang? Boleh?"
I learnt then that despite being of different ethnic origins, Malaysian do have unique characteristics that set us apart. We smile easily, help willingly and accept readily someone who is different . When asked why this was so, the answer was, "Well Kak, in Malaysia we are so used to people who are different being our friends..."
Now back in Malaysia I try to stop myself from classifying people and learn to see them instead as people with a capacity to love and grow.I begin to be aware of good little things, such as four-year old Audrey Ooi making herself at home in my house and calling Mum "patti". Another four-year old sits herself confidently in a Buddhist home and talks to the two tots. I am awakened to how easily one can allow oneself to be divided by politics when what is important is that we remain a people with a heart full of love.
Pushpa Panadam.
Saya terharu membaca tulisan Kak Pushpa. Saya sertakan juga gambar lain untuk tatapan. Diluar negara, kami lebih bersatu berbanding dengan dinegara sendiri.

makcik bersama kami ke gathering pelajar malaysia chiba univ
Majlis meraikan pelajar asing. Gambar ni masuk suratkhabar!

team karipap, yang lelaki menguli dikelolakan oleh Kak Ong. Yang perempuan buat inti, saya le leadnya...

07 July 2012

keranamu EPJ

Assalamualaikum, Salam pagi Sabtu.



Ada kawan fb upload gambar diatas, terkenang kisah dulu2.. disini segalanya bermula.. 11 tahun di sini bagaikan graduate dari Institut Latihan. 

Imbas kembali kenangan disini....
Ya segalanya bermula disini, fresh graduate yang begitu eager nak memulakan kerjaya di kilang. waktu tu banyak benda kena belajar. Hari ke 3 bekerja dah night flight ke Kota Bahru, 3 bulan bekerja cuma cuti pada 1 Mei, itupun sebab cuti umum jatuh tengah minggu. Kerana EPJ, saya sampai kemana2, seluruh semenanjung dah diteroka, sampai batam dan surayaba, Indonesia. Pernah juga 2 kali menjejakkan kaki ke Seiko Epson, Nagano, Jepun. Sempat jumpa 4 MD,  sempat meninggalkan sejarah disana.

Saya bekerja dari April 1992 - Mac 2003. Bermula dari bangunan kecil dan kantin yang layak dipanggil warung sahaja. Waktu tu kawasan kempas belum begitu diteroka, kereta yang lalu depan kilang masih boleh dikira. Tiap 6 bulan ada kejadian histeria.. sampai Mr Liang (ex boss saya) menubuhkan pasukan ghost buster. Kami bukan tukang tangkap hantu, cuma tukang mengawal keadaan apabila histeria berlaku. Cikgu Esa, Aziz Driver akan kelam kabut menjadi driver, hantar pesakit kemana2... Meriah waktu tu... paling tak lupa. gara2 hilang sabar, air suam dan tepukan dibelakang badan pesakit, saya digelar tok bomoh besar hahaha.... 

Gara-gara histeria juga, acara Maulidur Rasul dah jadi acara tahunan. Permintaan Mr Liang, nak buat Maulidur Rasul boleh, tapi dia nak disertakan dengan kompang keliling kilang. Waktu tu orang tak tau apa rasionalnya.. nak tahu kenapa? dia kata orang cina buat bising halau hantu, you all selawatlah sambil pukul kompang keliling kilang, hantu lari, pekerja senang hati... Logik yang saya kagum sehingga hari ini.

Tahu tak, dulu mereka panggil Kaizen sebagai ISA (Improvement  Suggestion Acitivity) tapi ramai komen takut keliru dengan Internal Security Act. Ketika penjenamaan semula, saya telah memenangi pertandingan menamakan activiti kaizen.. SUMBER, sumbangan untuk kemajuan bersama. Logo sumber pula dimenangi oleh Radzi dari section yang sama.

Kami juga adalah sebahagian dari jawatankuasa yang merekabentuk uniform yang mereka guna sehingga sekarang. Batik purple ditepi uniform adalah idea dari manager2 jepun nak masukkan elemen batik pada uniform. Asalnya kami hanya mahu letakkan print epj sahaja. Well, it was a good decision, sampai sekarang pun corak batik tu tak jemu dipandang.

Tingkap tingkat atas yang nampak dari jalan raya mengingatkan saya, aku pernah duduk membelakangkan tingkap itu. Dari tingkap itu saya menyaksikan, apabila ekonomi baik, kereta bertambah, apabila ekonomi merudum kereta berkurangan, menyaksikan juga penarik kereta menjalankan tugasnya....

Untuk mencari pekerja, macam2 kami dah buat.,,, Sebelum buat temuduga terbuka dikampung2, kami jugalah yang jadi tukang tampal poster, pokok besar, dinding kedai .. kadang2 rasa macam pekerja pilihanraya. Nasib baik masa tu pihak kerajaan tempatan tak begitu tegas menguatkuasa, kalau tak...  Waktu tu memang nekad, kemana saja tak pergi, JTR, Balora Mastika, balairaya kampung dan felda, pernah sorang bapa hantar anak temuduga, duduk depan saya bertongkatkan parang panjang. En Rahmat (pegawai atasan saya pada waktu itu) meninggalkan saya seorang beserta alatulis untuk temuduga sementara dia pergi ke lokasi seterusnya.. tapi pengalaman ini lah yang membina jati diri saya menjadi saya sekarang.

Kerana EPJ juga orang kenal saya dlm program Hello - hello Epson. sampai sekarang, jenama Epson masih melekat di belakang nama saya walaupun dah 9 tahun meninggalkannya, dah 4 kilang dan 1 training center menjadi persinggahan saya. 

Untuk warga EPJ, hargailah apa yang anda ada..
jika jodoh di sana sudah tiada
pastikan anda pergi bukan kerana marah atau terpaksa.
biarlah 10 tahun lagi anda boleh menoleh kembali dan berbangga
aku pernah hadir disana....

23 June 2012

Hari Terbuka : kisahnya...

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Terkesima sebentar bila melihat sudah lebih 11,000 hit. terima kasih kerana singgah disini.. semoga apa yang diluahkan disini memberi impak positif kepada anda semua.

Semalam dan hari ini adalah hari terbuka disekolah anak2. Memiliki anak yang berada dikelas paling depan dan kelas paling belakang memberikan saya satu persepsi:

CIKGU DIKELAS PANDAI, STRES DISEBABKAN OLEH IBUBAPA YANG MENGHARAPKAN YANG TERBAIK DARI GURU DAN ANAK MEREKA.

CIKGU DI KELAS BELAKANG, MELAMPIASKAN STRES MEREKA KEPADA IBUBAPA YANG HADIR.

tak ada mak bapak yang biarkan anak mereka bodoh sepanjang hidup, masing2 berusaha dengan cara masing2 untuk menjadikan anak mereka orang berguna kepada ibubapa, bangsa dan negara. tak perlulah cikgu menuding jari menyalahkan ibubapa.

saya juga lebih terkesima bila mendengar cikgu yang terlalu seronok bersyarah kepada ibubapa ter... sebut nama anak orang lain dan menceritakan keburukan budak tu.. saya tak suka anak saya diperlakukan begitu, tentu mak bapak budak tu jugak tak suka ...

setiap kali balik dari open day disekolah, saya tak boleh elak dari meyimpulkan bahawa 
SIKAP CIKGU YANG JUDGEMENTAL TIDAK MEMBANTU KEMAJUAN MURID.

Ya Allah... semoga sikap negatif segelintir guru ini tidak mempengaruhi anak2ku.. amin..ya rabbal alamin...

13 June 2012

Hantu Telekung...

Assalamualaikum.

Waktu nak masuk meeting di ofis, rakan sekerja yang juga tinggal si satu kawasan perumahan dengan saya tiba2 memulaka perbualan :
A : Ada dengar cerita tak?
Saya : Cerita apa?
A : Budak kawasan perumahan awak kena tangkap..\
Saya : Kenapa?
A : Pakai telekung dan takutkan orang kat area lapang dekat dengan surau.
Saya : Jadi hantu? hahaha... 
A : Hahaha... kena tangkap dengan jiran saya, ada orang tua jatuh motor sebab terperanjat kan dia...
Saya : Berapa umur budak2 tu?
A : Dlm 15 or 16
Saya : Alamak, tak mustahil idea tu datang dari saya!
A : Kenapa ?
Saya : Saya pernah cerita kejadian serupa kat rakan2 anak saya yang sebaya.....

Balik rumah, saya terus tanya anak bujang saya Khaleed. 
Rupa2nya ada kawan dia pernah buat perkara yang sama disekolah....menyergah kwn2 yang di Surau sekolah pada waktu pagi dengan memakai telekung.
Saya tanya mana rumah budak tu...
alamak! description rumah budak yang kena tangkap tu serupa dengan description rumah kawan Khaleed. Tanya nama bapak, sah ... . rumah yang sama....

Kesian pada orang tua yang jatuh motor tu.. tapi untuk anak2 yang menyergah.. pengalaman ini, buruk atau baik, bakal menjadi kenangan terindah untuk diceritakan kepada generasi akan datang,,,

03 June 2012

Himpunan Hijau mengguris hati....

Assalamualaikum,

siang tadi pergi jemputan kahwin rumah sepupu arwah mak, meriah bertemu sanak saudara, ketika salam pokda sebelum berpisah, pokda tiba2 kata.. rajin2 menulis.... aik.. pokda baca ke blog ni? hehehe... termalu lah pulak...

Topik yang melekat difikiran hari ini.. hmmm.. kawan2 fb dok post gambar himpunan hijau kat Alor Star tu.. 

Personally saya rasa ianya sangat kurang ajar! 2 Jun 2012 adalah sambutan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Tahun ini adalah tahun pertama Sultan Kedah menjadi YDP Agong dan sepatutnya diraikan oleh rakyat Kedah. Tetapi pagi tadi, mungkin suasana di Alor Star lebih meriah. It was a bad move! Rasanya tak salah kalau pilih lokasi lain kalau pun mesti buat pada tarikh ini.

Anda telah menguris perasaan rakyat Kedah yang sayangkan Sultan mereka, sedangkan anda perlukan undi mereka untuk terus bertahan memerintah disana...

01 June 2012

Kami panglima perisai boss..

Assalamualaikum
Sejak minggu lepas saya asyik kena jawab dengan accounts dept, bertalu2.. aduh... spending itu bukan saya punyalah.. rasa macam nak jegilkan mata kat budak accounts tu. Bila asakan bertalu2, perisai kesabaran saya juga mula menipis.. hahaha.... terlepas ayat "you are testing my patience" kat accounts dept. Tiba2 semua email stop.. ha? tak kan ayat gitu pun dah kelu kot.. kau yang bertalu2 tembak kat aku... apa pun redha je...
Isnin, Accounts Manager balas email ke bos... aduh sopannya ayat... ish. pelik ni.. selalu dia ni megah dengan angin dia je, tak kira angin orang... bos pun terperanjat.. Accounts manager ada cakap apa2 ke.. bos skype dari jepun... nai.. pendek je saya jawab.. maknanya tak ada. Bos pun heran dengan kesopanan si Accounts Manager.
Semalam bos HR panggil saya..  saya tahu ni mesti ada kena mengena dengan angin pus pus saya kat email tempohari. tuan haji mengelak tak nak jawab.. ok.. kelok sana kelok sini, layankan je lah.. sudahnya keluar ayat sebenarnya.. saya sergah je kat bos HR tu.. tuan haji kena kaunseling saya kan? heheheh. apsal lah bos sorang ni... patutnya dia kaunseling saya.. terbalik dah. saya pulak yang kaunseling dia.. ish... tak padan dengan belum confirm lagi makngah ni....
senang je ayat saya kat tuan haji tu.. you are dealing with working adults bukan budak sekolah rendah.. orang accounts tu kena faham, we are professionals and doing our work. Interupting our work and dictating what to do is insulting our professionalism. ish. terer jugak makngah ckap omputih....
Kita pun tahu kerisauan mereka pasal kos operasi, tapi jangan lah ada double standard, dengan orang lain mentang2 bos mereka macam singa lapar, bukan main bersopan santun, tapi mentang2 bos saya tu sangat humble orangnya, dia pulak nak jadi singa. Hai .. kami sebagai panglima2 perang.. (macam askar lah pulak).. kenalah jadi perisai bos.. bos kurang pedas, kami le kena jadi cili padinya....
whatever it is, we have the same ultimate goal : PROFITABILITY OF THE COMPANY....

29 May 2012

cuba tengok dari sudut lain.....

kecoh kecoh kecoh.... no plat www 1 katanya dah dimenangi oleh Sultan Johor....

di Yahoo, di fb dimana2 manusia dok memperkatakan hal ini. Ramai yang bangga dan tak kurang juga yang mengutuk. Tiba2 keluar ayat, siapa sponsor, duit rakyat, kalau bantu rakyat miskin, bla bla bla...

hello hello hello.. sebagai rakyat johor saya bangga. Suka hati Sultan saya lah nak belanja wang berapa banyak pun, jangan hanya tengok berapa jumlah Sultan saya belanja, cuba tengok berapa banyak Sultan saya dah bawa masuk duit untuk negeri Johor tercinta ini.Sultan saya dengan idea originalnya buat kembara mahkota, sultan you all ada ke? Disebabkan kesungguhan sultan johor untuk acara kembara mahkota, berapa banyak duit dah dibawa masuk untuk sektor pelancungan......

kawan2 di fb pun dah ramai share tweet dari anakanda sultan.. yes.. sultan Johor tak ambil duit elaun. Baginda simpan duit tu dalam tabung yayasan untuk digunakan bagi kepentingan rakyat. Rakyat negeri johor yang tak pernah ambil tahu.. pernah dengar mados? atau stesen radio best 104 sensasi selatan? tak termasuk bisnes lain2.. do your homework, carilah jenis2 perniagaan yang dimiliki oleh Sultan dan keluarga baginda....

daulat tuanku.





26 May 2012

cikgu dia encem..

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

Semalam bila buka blog saya terperanjat besar.. ha?.. dah hit lebih 10000? Siapa yang baca ngomelan saya ni ya.... apa2 pun semoga apa yang dibaca membawa manfaat kepada anda semua.

Malam tadi, jumaat malam sabtu, seperti biasa saya balik lambat sikit. Sememangnya hari Jumaat habis kerja lambat disebabkan rehat tengahari panjang.. ini trend orang kerja kilang ye... salah usaha untuk menjaga kebajikan pekerja. Tetapi semalam juga adalah hari pernikahan seorang staf saya, Azizan. Pasangannya sama tempat kerja. Balik kerja kami ramai2 singgah ke rumah pengantin perempuan makan nasi jagung. Selamat Pengantin Baru dan Selamat menempuh hidup baru kepada Azizan dan Azimah.

Yang nak diceritakan adalah... bila balik rumah dah kenyang makan nasi minyak.. aduh.. penyakit malas masak melanda. Apalagi... kekedai le kita.. tempat kegemaran keluarga saya A&N Corner.. restoran tomyam le....

Duduk sekejap tiba2 Haleeda excited semacam.. hm.. rupa2nya cikgu dia yang handsome tu datang makan ditempat yang sama. Cikgu tu cool aje.. buat2 tak nampak. tapi sebelum ni dia pernah sindir Haleeda dalam kelas..." satu hari cikgu pergi makan, ada sorang anak murid cikgu tu makan dengan keluarga, tak ajak cikgu pun......"  Haleeda serba tak kena.... hinggalah cikgu siap makan dan tinggalkan restoran.

Hmmm.. anak daraku dah mula suka kat cikgu.. baru darjah 2....

22 May 2012

kerana kau lupa hari jadiku...

Assalamualaikum

Hari Ahad lepas terbaca mengenai Almy Nadi merajuk dengan boyfriendnya.  Ala.. kesian dia....
baca kisah Almy Nadia mengimbas kembali nostalgia dulu2...

Kisah saya suka pada seorang rakan, dan dari layanan beliau rasanya tidak bertepuk sebelah tangan.
2 tahun masa berlalu, saya masih menunggu.. tetapi dalam tempoh itu banyak peristiwa berlaku,
peristiwa yang menyebabkan keyakinan diri sendiri mula goyah... Kemuncaknya... orang yang diharapkan mengucapkan Happy Birthday kepada saya hanya ucapkan happy belated birthday. 3 hari kemudian.

Walau pun hati yang luka terubat seketika, berlaku lagi peristiwa yang menggugat keyakinan diri saya. Akhirnya, salam dari orang lain disambut,  bukan kerana suka tapi kerana kecewa.., tup2 rupanya dia pun kecewa.. ish.. tak faham.. kenapa pula dia yang kecewa.. alkisahnya saya gagal membaca kesungguhan dari tindak tanduknya...  

Expectation lelaki dan perempuan berbeza. wanita mengharapkan kepastian, lelaki pula memerlukan wanita faham.... bila disingkap kembali.. kekecewaan menunggu ucapan darinya sehingga ke detik 12 malam menjadi titik tolak kepada keputusan saya untuk melupakan harapan dan membuka lembaran baru... 

Menunggu dan mengharapkan pasangan menunggu tak kan berjaya tanpa komunikasi 2 hala yang baik. 

12 May 2012

bahasa budaya bangsa

Sejak peristiwa bersih yang tak berapa bersih  ni
makin menjadi2 pula komen friend yang ala2 minat kearah baju kuning
tapi apa salah makcik2 felda, pakcik2 PPRT yang dikecam membaca surat khabar arus perdana
kenapa babitkan mereka dalam komen anda yang berbaur penghinaan

Dalam mengejar cita2, sibuk dalam perdebatan,
mungkin pemimpin kita lupa tanggungjawab mereka
menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat jelata.
Budaya kurang ajar dah jadi biasa
lupa adab lupa segala...\

Mungkin PRU depan anda berjaya
siapa tau, mungkin rezeki anda.
tetapi ....
jangan lupa...
sejarah telah membuktikan, setelah suharto, marcos dan pemimpin lain kecundang
berapa lama pengganti mereka bertahan?
anak2 yang diajar kurang ajar,
dah menyerap sikap negatif sebagai budaya
kau ajar mereka meludah orang sekarang
tak mustahil mereka akan meludah ke muka mu semula...




Semoga rohnya dicucuri rahmat...

Petang semalam dapat khabar sedih dari abah,
katanya tok busu telah kembali ke rahmatullah,
sedih...

Tok Mardan atau orang kampung di Sg Sudah, Muar memanggilnya wak ji'on.
Merupakan adik bongsu arwah Atuk Temah, nenek sebelah ibu saya.
Contoh kepada ibu bapa yang berjaya mendidik anak2 menjadi insan berjaya.
Salah seorang anaknya pernah menjawat jawatan Timbalan Naib Canselor di salah sebuah universiti Nasional di Malaysia.
Tiap raya apabila anak cucu menziarahinya disambut dengan cucuran airmata.. tok busu memang suka menangis, kala sedih dah tentu, kala gembira pun sama....
dia selalu bercerita kisah zaman perang Jepun. Saya selalu mengusik suruh dia menyanyi lagu2 jepun dulu2.. dia akur, menyanyi dengan bangga.. sesekali keluar ayat2 dalam bahasa jepun..

Ramai tak tau atau arwah sendiri seolah2 mengelak untuk bercerita...
legasi yang ditinggalkan oleh arwah datuknya....
yang sudah-sudahlah.. selalu dia berkata.
ibu arwah tok busu, saya pernah dengar keluarga memanggil beliau embah timah...
seingat saya masih hidup sehinga saya berumur 8 atau 9 tahun..
adalah anak bongsu kepada ORANG KAYA ALI...
tertulis dalam sejarah orang yang membuka kawasan Sungai Balang...

Selamat jalan tok busu...
kami doakan kesejahteraanmu,
semoga segalanya dipermudahkan disana...
amin....


10 May 2012

Bila saya merajuk...

Semalam entah kenapa ter.. emosi pulak...
balik kerja penat2, seperti biasa....semua kerja rumah hatta masak air pun nak kena suruh..
kalau tak..tak ada lah yang gerak
Siap masak, panggil semua makan, saya suapkan sufyan, lepas tu sendiri pun tak makan dan terus masuk bilik... sampai pagi...
segala sapaan baik dari anak hingga ke bapak saya tak layan..
subuh tadi bila sedar, suami tidur kat atas carpet dihujung katil....

Seperti biasa, masak air, gosok baju sementara tunggu air mendidih.
azan subuh suami keluar dari bilik, saya beritahu lampu dapur terbakar...
suami ala2 takut nak tegur.. kenapa ek..
oh ye.. saya dah terlupa saya merajuk malam tadi..

Sehingga malam ni..
Khaleed dan Azam masak nasi dan buat air...
Haleeda tolong tumbuk rencah
Ayah dia pun.. rajinnya tolong...
sufyan.. seperti biasa.. paling memahami....
semua 5 bintang...

Dek kerana semua bagi kerjasama
Semua kerja siap,
sempat lagi mengadap Kuch2 Hota Hai sambil menulis blog.
Kalau lah macam ni hasilnya..
mau tiap2 hari nak merajuk...



04 May 2012

kisah seram ...

Assalamualaikum

Walaupun lama tak update blog, sesekali saya datang menjengah juga.. apa nak buat.... idea ada tapi mata tak bagi kerjasama... baru on laptop dah terlelap.

Semalam Mariya, salah seorang kawan zaman ITM update di facebook kisah ala2 misteri nusantara.. pukul 2.30pagi, sewaktu memandu bersama famili, dia nampak 2 orang sedang melambai ditepi highway utara selatan. sorang tu katanya betullah berdiri sambil melambai, tapi yang peliknya sorang lagi boleh baring atas kereta ala2 rehat tepi pantai.... katanya anaknya pun nampak sama.. tapi bila dah lepas, toleh kebelakang dah tak ada.. tak tau le tak nampak sebab gelap atau ,,,,,

Seperti biasa, kalau kawan2 zaman ITM update di facebook, maka kawan2 yang lain akan komen. Kami buka cerita ala2 misteri nusantara masa diasrama Jati Blok E, tahun 1983... Kira sendiri lah.. berapa umur makcik ye....  Masa tu kami adalah group pertama yang tinggal, kawasan baru, jadi banyaklah cerita misteri. Unit flat yang kami duduki memuatkan 10 orang, 2 bilik memuatkan 4 orang tiap satu, dan dapur diisi dengan 2 orang. Saya, Ani, Bibah dan Mariya tinggal dibilik belakang berdekatan dengan bilik air. Bilik orang lain dah kecoh kena kacau tapi alhamdulillah bilik kami selamat. Mula2 orang heran jugak kenapa ye.. setelah mereka siasat keluarkan ayat power dari rakan serumah si Aisyah :
"orang bilik ni semua tidur mati, agaknya penat hantu usik pun tak perasan.. "
resepinya mudah je.. semua tidur mati!

Kami pun ungkit kisah lama.. nak tau.. cerita intro kat ngangkung tu.. pasal orang yang hilang kepala di highway karak.. kisah tu sebenarnya dah kecoh zaman saya di ITM. Zaman tu highway karak baru buka...

malam jumaat ni buka cerita seram lah pulak...goodnite.... wassalam.

26 April 2012

Isyarat Jari Hantu

Assalamualaikum
dah lama tidak menulis, rindu pula...

Jarak perjalanan saya ketempat kerja adalah 50km sehala, melalui lebuhraya linkedua. Perjalanan diwaktu peak-hours kadang2 mencabar kesabaran.

Pagi semalam, seperti biasa saya memandu ke tempat kerja. Kebiasaannya saya akan memandu sebelah kiri, tetapi apabila ada peluang memotong, off course guna laluan kanan. Sedang saya memotong lori, sebuah kereta datang dengan laju dari belakang dan memberi isyarat lampu. Mind you, saya bukan cilok depan kereta tersebut, waktu saya masuk lane kanan, tiada kenderaan dibelakang.

Kejadian sebegini bukan kali pertama. Hati saya rasa nak menakal, dari kelajuan 110km/jam saya lepaskan pedal dan biarkan kelajuan kereta menurun, untuk seminit dua, berada dalam kelajuan 90-95km/jam, seiring dengan lori yang saya potong. Isyarat lampu makin obvious, agaknya dah sakit perut sangat pemandu kat belakang. saya tambah kelajuan dan....kereta dibelakang saya memotong ikut kiri dalam keadaan bahaya. Apabila dia masuk ke kanan semula, tingkap dibuka dan ISYARAT JARI HANTU ditunjukkan keudara!

kesian orang2 macam tu ye.. kalau lah masa dia keluarkan isyarat jari hantu tu kena petir... (kejap.. tengah membayangkan..hihihi....), atau.... kereta terbabas akibat luar kawalan.. maklumlah.. tangan yang patut digunakan untuk pegang steering dah guna ke lain.... atau.. tak mustahil kegagalan mengawal emosi boleh membawa kepada sakit darah tinggi dan sakit jantung. .kot2 kena serang sakit jantung tengah memandu..ha.. baru tau...

Ya Allah ya tuhanku, ampunilah hamba mu itu....




a GOOD person
present a BETTER personality
may achieve the BEST in life

ACHIEVEMENT in life DOESN'T COME CHEAP
requires EFFORT, SACRIFICES and DETERMINATION.

-Makngah@26/4/2012-

26 March 2012

GAME : BALING TELUR DAN TEPUNG....

Katalah saya mak yang tak ikut perkembangan zaman, saya tak kisah... tapi bila anak2 balik majlis harijadi kawan2 dengan baju basah dengan telur dan putih dengan tepung, hati jadi geram! Saja2 tanya kat anak, " berapa banyak tepung dan telur digunakan untuk majlis ni", jawapan sambil ketawa dia.. telur satu papan! Tepung? entah berapa kampit, tak ingat!  mak oii !!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

Saya pujuk hati.. tapi tak berjaya.. nak juga berleter kat budak2 tu.... maka keluarkan ayat2 power ini :
* awak tau tak yang tepung tu makanan ruji kat sesetengah negara, berapa banyak roti boleh buat, mee boleh buat untuk makan orang yang tengah kelaparan.
* Allah tak suka manusia yang membazir, Nabi pun tak suka umatnya yang membazir. Kalau Allah turunkan bala sekarang dan tempat kita ni jadi kemarau.. dalam kelaparan baru awak menyesal membazir telur dan tepung tu...

Agaknya Malaysia dah kaya, rakyatnya makin mewah, jadi setakat telur sepapan bukan sesuatu untuk disesalkan. tetapi, untuk saya yang pernah tinggal dirumah setinggan, berkongsi makan bersama keluarga yang besar, telur sepapan tidak ternilai harganya....

Pesan saya kepada anak2.. kalau awak join sama dengan kawan2 dalam pembaziran ini.. awak subahat. Kalau dah terbeli tepung dan telur, suruh mereka bawa sini, biar mak buat kek, boleh makan kenyang2....

astaghafirullah hal azim...

04 March 2012

Kisah Beruang dengan Ikan

tersebut kisah seekor beruang
mencari makan diwaktu siang
tertangkap seekor ikan yang malang
kurus dan kecil tinggal tulang.

merayu si ikan dengan hibanya
memohon kasihan tuan empunya
masa dipinta sepurnama dua
menambah isi mengubat kecewa.

beruang yang lapar masih bertenang
memikirkan permintaan ikan yang malang
walau tawaran sukar ditentang
masih tegar berfikiran panjang.

biar janji semanis bahasa
biar kecil rezeki dariNya
tetap bersyukur apa yang ada
kasihan ikan mati juga sudahnya....

moral of the story :
1) jgn mudah terpedaya dengan janji yang tak pasti.
2) biar kecil rezeki dari Allah, ia tetap rezeki. Hargailah...







02 February 2012

MEMBANTU ANAK2 BELAJAR.

Assalamualaikum

Busy busy busy, excited excited excited.
Itu le ayat yang paling tepat untuk saya sekarang, saya baru mula bekerja semula setelah berehat selama 2.5 bulan dirumah.

At the same time, saya dan suami menggalakkan rakan2 anak datang belajar dirumah. Bukan buat tuisyen.. saya cuma tolong pantau mereka buat kerja sekolah, lontarkan 1-2 soalan dan pastikan semua orang jawab sehingga mereka faham formula dan sebagai penutup, ajar bahasa jepun selama 5 minit sahaja! Attraction supaya mereka datang semula esok hahaha...  Kenapa saya buat begitu? kerana mereka termasuk anak2 saya adalah anak2 dikelas yang nun jauh kebelakang. Ada yang sifir 4 pun belum hafal. Dari pemerhatian saya, mereka termasuk anak2 saya bukan tak pandai, tetapi lambat pick up. Kelemahan itu menyebabkan mereka membina tembok untuk menendang segala ilmu yang diajar oleh guru.

Saya sangat terharu bila terpacul ayat dari mulut mereka berbunyi begini : "yek eleh. gini je? masa cikgu ajor macam susah sangat...." saya dan suami sedang mencari formula untuk membina keyakinan diri mereka. Bukan memperkecilkan keupayaan guru lepasan ijazah yang mengajar mereka, tetapi saya yakin , sekiranya murid ini dibahagi 2 dan sebahagian diajar oleh guru yang berpengalaman yang berkerjaya bukan sebagai guru, tak mustahil murid2 yang diajar oleh "pekerja" lebih mudah faham... kenapa? Kelebihan kami adalah pengalaman dan dedikasi. Kami bukan mengajar adik yang malas belajar, sebaliknya mengajar anak yang ada potensi dan menunggu kami untuk menggilap. Pandangan dari perspektif berbeza, pada saya mempengaruhi sikap terhadap tugas mengajar itu sendiri.,

Ya  Allah ya tuhan kami, kuatkan semangat dan istiqamah kami. semoga usaha ini memberi manfaat kepada anak2 kami .. amin...

23 January 2012

Anak2 kurang ajar, salah siapa?

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Entah kenapa tiba2 saya teringat kisah yang saya lihat di sebuah klinik suatu waktu dahulu. Seorang anak kecil dalam lingkungan 4 tahun melihat wajah Tun Dr Mahathir di majalah sambil berkata pada bapanya..." Abi, ni atuk Mahathir, orang jahat kan?". Bapanya pulak menjawab dengan spontan "Ya". Hati saya berkata-kata... aduhai... anak sekecil ini dah di "doktrin"kan dengan sikap membenci orang... 

Beberapa tahun selepas itu pula, kecoh ibubapa buat laporan polis dan menyaman guru kerana merotan. Suami kawan saya yang bertugas sebagai polis telah diserang oleh ibubapa kerana membawa anak ponteng sekolah dan hisap rokok di kubur cina ke balai polis. Beliau dituduh sengaja nak memalukan ibubapa yang berkedudukan dalam PIBG dan  dalam masyarakat. Waktu itu, rasanya anak yang saya lihat diklinik dah mula mula masuk sekolah menengah.

Sekarang... kecoh pula pelajar2 IPT buat hal, demonstrasi, masalah sosial hingga melahirkan bayi luar nikah didalam tandas, di asrama dsb bukan perkara pelik lagi...  Bila dicongak lagi, hmm.. anak itu dan yang sebaya, dah sampai umur masuk Universiti! Wow, remaja2 ini membesar di waktu orang sibuk "reformasi" yang juga menghalalkan banyak perkara diluar peradapan timur contohnya memaki hamun dan membenci sesama manusia , juga zaman ibubapa terlalu menyayangi anak , semua orang lain salah...

Hari ini di suratkhabar, keluar berita pelajar KUIN yang digantung pengajian kerana terlibat dalam demonstrasi tahun lalu, menghantar surat berdamai serta tawaran kepada kolej, siap ada deadline! Sebagai pembaca, saya terfikir, adakah itu surat perdamaian atau ugutan kepada kolej? Mereka tidak menunjukkan tanda2 insaf!

Wahai ibubapa? Anak2 adalah refleksi didikan kita. Adakah cara didikan kita ni betul? Adakah anak2 yang kita ajar membenci orang dan sentiasa menyalahkan orang lain boleh membela kita semasa kita tua? semasa kita sakit? 

renung-renungkanlah.....



22 January 2012

GONG XI FA CAI


Untuk kawan2 berbangsa Cina,

GONG XI FA CAI
Semoga tahun ini memberi rezeki juga kesejahteraan untuk anda semua....


Kat sini hujan baru je berhenti, teringat kata2 orang2 tua mengenai sinonimnya hujan dan raya cina. Tahun lepas sewaktu berbual dengan seorang berbangsa cina baru tahu kenapa. Katanya orang cina percaya hujan sebelum raya cina adalah pembersihan laluan sebelum dewa2 mereka turun ke bumi..

Hujan juga akan turun selebat2nya pada hari Chap Goh Mei atau hari ke 15 atas alasan yang sama.. iaitu, pembersihan laluan setelah dewa2 mereka pulang.. kemana? mungkin ikut istilah cerita bangsawan dulu2 ke kayangan kot....

wallahualam... kita tak perlu percaya tetapi sebagai rakyat dalam negara berbilang kaum dan bangsa, pengetahuan begini membantu kita memahami antara satu sama lain....

Selamat bercuti untuk kawan2 yang akan pulang ke kampung... hati2 di jalan raya.....

15 January 2012

Resepi : Kek Coklat Kukus

Assalamualaikum...
Petang tadi Tokabah datang dengan Mokcu & Arif. Jadi saya dengan rajinnya buat Kek Coklat Kukus, excited nak kasi Arif rasa, maklum le, sejak masuk sekolah tadika ni belum buat apa2 pun untuk dia..

btw, sejarah Kek Kukus ni... sejak duduk rumah, teragak le pulak cari resepi Kek Coklat.. cari punya cari jumpa macam2 resepi, baik di blog-blog mahupun di youtube. Test banyak kali, kejap jadi kejap fail. Kiranya kalau jadi nasib baik la ye... Tetapi dari setiap kegagalan, saya usaha lagi. akhirnya. .. alhamdulillah.... dah tau cara buat kek coklat kukus..

Sebelum menaipkan resepi kek ni, terlebih dahulu saya nak minta ampun dan maaf kepada tuan punya asal resepi yang saya dah olah dan buat ikut suka hati sendiri.

KEK COKLAT KUKUS

bahan dan cara membuat.

150g tepung gandum
1 camca teh baking powder
1 camca teh bicarbonate soda
(ayak dan ketepikan)

100g serbuk koko
250g gula kastor
1 tin susu cair (400g)
250g susu pekat /krimer manis
200g minyak masak
(campur semua dan panaskan atas api perlahan. Kacau selalu hingga sebati dan berkilat . Tak perlu sehingga mendidih)

4 biji telur ayam (saiz sederhana)
Pukul hingga kembang.

1) Panaskan air dalam kukus sehingga mendidih.
2) tuangkan sedikit demi sedikit larutan koko panas kedalam tepung dan kacau.
3) Masukkan telur yang telah dipukul dan kacau lagi.
4) Gris loyang dengan   minyak / majerin / mentega.
5) tuangkan adunan kek dan kukus selama 1 jam. Apabila telah masak, biarkan sejuk sebelum dihias.

Nota : tutup loyang menggunakan aluminium foil bagi mengelakkan wap air jatuh ke dalam kek.

larutan coklat sebagai hiasan.

cairkan 2 sudu mentega
2 sudu serbuk koko
sedikit susu cair + susu manis.
kacau atas api perlahan - sehingga semuanya larut dan sebati.
tak perlu kacau lama2 diatas api, takut hangus. (nanti pahit pulak kokonya...)

Bila kek sudah sejuk, sapukan larutan coklat atas kek dan hias mengikut citarasa anda....

hari khamis lepas saya buat kek untuk kawan2 anak yang datang untuk group study. Ingatkan ada berbaki boleh le saya makan lagi. balik kerja hari jumaat jengah peti ais tinggal loyang kosong saja. Katanya budak2 tu balik sekolah, singgah rumah, sambung makan lagi... Family saya dan kawan2 anak suka, tentu family anda pun suka juga....

selamat mencuba...







 







08 January 2012

Jalan2 Cameron Highlands - Foto

Salam
Hujung tahun lepas, kami sekeluarga ke Cameron Highlands lagi. Unplanned trip......

inilah family saya....

Gerai orang asli dalam perjalanan dari Tapah ke Cameron Highlands

Pemandangan dari Bharat Tea Plantation

My & my handsome boy - sufyan.


suasana malam di Brincang dari apartment.

tau tak? strawberry keluar musim sejuk. Nak makan strawberry macam ni datanglah dalam bulan Nov, meriah  & murah. Kalau datang bula Jun, ada le yang kecik2, masam pulak tu.. btw, tuang susu pekat manis.. marvellous.

seperti biasa, model souvenir di cameron highland. sarung tangan & penutup telinga

kami tinggal dibilik ni, mengadap pekan balai bomba brinchang. Marvellous view.

Kalau pergi brinchang, sini le tempat kami tinggal. Dulu best, tapi sekarang service macam kedekut2 manja gitu. Tuala kena minta, dah minta pun bagi yang ala2 layak buat kain buruk.. dulu tak gini....

pernah tengok orang ketam daun teh?

my hubby
rosak juga timbang tu nanti... ish....

jasamu dikenang. Khaleed sentiasa membantu menolak kerusi roda sufyan.

bukti dah sampai sungai palas ye azam...

daun teh fresh. rasa macam nak petik je....

singgah kejap kat lata iskandar on the way turun.. semua orang mabuk da....


02 January 2012

AUKU : apa masalahnya?

Assalamualaikum

siang tadi ramai kawan2 fb dok upload video youtube pasal demonstrasi pelajar di UPSI.

Berdarah-darah muka budak kat video tu.. kalau itu anak saya, alangkah sedihnya. Kenapa saya sebagai emak sedih? begini...
1) Bila anak dapat sambung belajar sampai IPT, IPTA pulak tu.. bangganya hati mak bapak. Walau pun sekarang dah ramai masuk IPT, ramai lagi yang tidak bernasib baik seperti mereka.
2) Sekarang ada PTPTN, tapi sebelum pinjaman PTPTN lulus, dari mana datang duit buat bayar yuran IPT yang bukan murah. Masa nak PMR, SPM, mak bapak dah melabur banyak dah, hantar tuisyen, belikan buku latihan.. tu semua duit dari titik peluh mak bapak. Kalau mereka dibuang kolej kerana masalah displin, pelaburan mak bapak tu sia-sia sahaja.
3) Bila kes turun naik mahkamah, mungkin mereka rasa hebat macam hang jebat, tapi bayangkan air muka mak bapak mereka.. malu dengan keluarga, malu dengan orang kampung....... 

Saya tak check sangat pasal AUKU ni.. masa saya kat universiti dulu, tak kisah pun dengan AUKU ni. Fokus kami pada waktu itu adalah belajar & enjoy campus life &. Memang ada yang berpolitik kampus, setakat majlis perwakilan pelajar je....

Pandangan peribadi saya, AUKU menjadi masalah kepada sesetengah orang saja terutama pemimpin pelajar tahun akhir 60'an dan awal 70'an.  Orang-orang ni sekarang dah jadi pemimpin politik, jadi macam dendam kesumat tak sudah. Adakah penghapusan AUKU untuk kebaikan mahasiswa sekarang atau sekadar melangsaikan dendam kesumat sesetengah orang? hm.. some points to ponder....